- Iklan -
Berita

Pekerja makin sedar mengenai hak mereka biarpun dicabuli ketika pandemik Covid-19

Ia didorong faktor tidak kestabilan kewangan dan ketidakupayaan menunaikan bayaran utiliti selain berasa terancam untuk hilang pekerjaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Biarpun diberhentikan kerja mereka kini lebih tahu apa hak mereka.
Biarpun diberhentikan kerja mereka kini lebih tahu apa hak mereka.

Kedudukan kewangan yang tidak stabil dan rasa terancam untuk hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan golongan pekerja semakin mengambil berat terhadap hak dan tuntutan masing-masing di sisi undang-undang, akan tetapi ramai juga yang dicabul haknya, menurut badan peguam dan aktivis.

Presiden Majlis Peguam Salim Bashir Bhaskaran berkata sektor perniagaan dan industri yang bergantung kepada keadaan ekonomi negara yang dipengaruhi keadaan ekonomi dunia mengakibatkan sumber kewangan pemain-pemain industri tersebut terjejas terus.

Katanya, tanpa kemampuan kewangan, pemilik-pemilik syarikat tidak lagi mampu menggaji pekerja dan situasi itu membawa kepada ancaman baru terhadap kedudukan jawatan dan pekerjaan sehingga ramai pekerja diberhentikan majikan.

“Tetapi pekerja yang diberhentikan kini sedar terhadap hak mereka mengikut Akta Kerja 1955 dan remedi yang boleh dituntut daripada majikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Jun mendedahkan kadar kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020) disebabkan pandemik Covid-19.

Selain itu menurut SIP, sejumlah 18,397 rakyat berusia lingkungan 45 tahun ke atas hilang pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk membendung penularan wabak itu.

Dalam laporan bertajuk ‘Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of Covid-19 on Loss of Employment (LOE)’, SIP memaklumkan pandemik itu menjejaskan banyak perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus) selain kadar pengangguran dijangka mencecah 4% pada 2020 berbanding 3.2% semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7% ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

“Tetapi pekerja yang diberhentikan kini sedar terhadap hak mereka mengikut Akta Kerja 1955 dan remedi yang boleh dituntut daripada majikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan memberitahu MalaysiaNow, mereka menerima laporan kes pencabulan hak pekerja lebih tinggi berbanding sebelum Covid-19 sehingga perlu membuka satu lagi pusat talian hotline bagi memastikan perkhidmatan yang lebih berkesan.

Katanya, talian hotline Sistem Aduan Pekerja (Siap) dilancarkan semasa kerajaan melaksanakan PKP bermula Mac lalu dan melalui penganjuran forum webinar PSM, pihaknya mendapati rata-rata pekerja berasa kedudukan dan hak mereka semakin terancam.

Menurut Arutchelvan, ramai yang masih keliru dengan tuntutan yang merupakan hak mereka seperti skim subsidi kerja, skim insurans pekerja dan lain-lain.

Beliau berkata, ini mengakibatkan ramai dalam kalangan pekerja yang diambil kesempatan pihak majikan kerana tidak tahu apa-apa tentang hak mereka.

“Kesedaran kini lebih tinggi daripada biasa kerana mereka semakin terancam.

“Namun kerana perasaan gusar dan takut hilang kerja, ramai juga yang terima pelbagai pencabulan hak kerja misalnya paksaan potongan gaji, paksa ambil cuti dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Salim dari Majlis Peguam berkata, keprihatinan para pekerja terhadap hak-hak yang melindungi mereka didorong faktor tidak upaya menampung kewangan sendiri dan keluarga serta ketidakmampuan membayar kembali liabiliti yang ditanggung.

Katanya, lebih mengeruhkan keadaan lagi jika mereka dibuang daripada syarikat tanpa ditunaikan hak dan pampasan yang sepatutnya diberikan mengikut lunas undang-undang.

Salim menansihatkan golongan pekerja supaya peka terhadap hak mereka dengan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang selain membuat aduan kepada kementerian sumber manusia sekiranya teraniaya.