- Iklan -
Berita

Kemudahan kesihatan di Sabah kian meruncing, bantuan orang ramai diperlukan

Dana perubatan Sabah terdesak memerlukan wang dan sukarelawan.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Kakitangan jabatan kesihatan Kota Kinabalu memakai sut PPE bagi mengumpul sampel Covid-19 sebelum dihantar ke makmal untuk diuji. Gambar: Bernama
Kakitangan jabatan kesihatan Kota Kinabalu memakai sut PPE bagi mengumpul sampel Covid-19 sebelum dihantar ke makmal untuk diuji. Gambar: Bernama

Pandemik Covid-19 di Sabah dilihat semakin meruncing dengan jumlah jangkitan baru yang dilaporkan benar-benar membimbangkan.

Selepas tiga minggu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir, jumlah jangkitan Covid-19 di negeri tersebut terus meningkat setiap hari.

Pada 26 September lalu, iaitu pada hari pengundian di Sabah, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia kurang daripada 11,000 kes.

Di Sabah kes dilaporkan meningkat kepada 2,000 jangkitan.

Sejak itu, bilangan kes jangkitan baru di seluruh negara meningkat hampir dua kali ganda, dan di Sabah angka itu menyaksikan peningkatan melebihi empat kali ganda.

Ia menjadikan jumlah kes di Sabah mencecah 6,700 kes, jauh meninggalkan negeri-negeri lain.

Pada Ahad lalu, Malaysia mencatatkan 871 kes baru Covid-19 di seluruh negara, yang merupakan rekod tertinggi setakat ini dengan 702 kes dilaporkan di Sabah mewakili 80% daripada jumlah keseluruhan jangkitan baru dalam negara.

Angka kematian negara mengejutkan. Antara 8 dan 16 Oktober, daripada 35 kematian di seluruh negara, hanya satu direkodkan di Sabah.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melaporkan 70% katil di dalam wad biasa dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di sembilan hospital Sabah yang merawat Covid-19 sudah penuh digunakan.

Ketika ini, kesemua hospital itu hanya menerima pesakit Covid-19.

Minggu lepas, kerajaan persekutuan bersetuju menambah peruntukan RM50 juta bagi membantu usaha mitagasi yang dilakukan kerajaan Sabah.

Bagaimanapun, MMA berkata masih banyak diperlukan dan mereka menubuhkan satu dana khas bagi memerangi Covid-19.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad mereka berkata, “Kami percaya lebih banyak dapat dilakukan bagi memenuhi keperluan Sabah dalam memerangi pandemik itu.

“MMA cawangan Sabah bersama Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia melancarkan dana “Covid-19 Sabah” di mana hasil sumbangan akan digunakan membeli peralatan kesihatan, bekalan perubatan, peralatan pelindung diri (PPE) dan bantuan lain yang berkaitan.”

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melaporkan 70% katil di dalam wad biasa dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di sembilan hospital Sabah yang merawat Covid-19 sudah penuh digunakan.

Orang ramai diminta untuk menderma.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru para sukarelawan petugas kesihatan untuk membantu pasukan barisan hadapan di Sabah yang sudah kepenatan.

“Sama seperti yang berlaku ketika gelombang ke-2 jangkitan, usaha bersama setiap anggota masyarakat dapat membantu memerangi krisis ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Negara berterima kasih kepada semua orang yang menyumbang kepada Kementerian Kesihatan sepanjang gelombang pertama.”

Beliau turut memuji usaha mengumpul dana yang sedang dilakukan MMA, dengan berkata, “Kami akan menerima semua jenis bantuan dengan tangan terbuka dan bersiap sedia memerangi krisis ini.”

Mereka yang ingin menyumbang kepada dana bantuan itu boleh melakukannya di: Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia, United Overseas Bank, nombor akaun 1063057741 (Rujukan penerima: Sabah Covid).