- Iklan -
Berita

Bekalan air akan pulih dalam masa 24 jam, kata Tuan Ibrahim

Pencemaran bau yang mengakibatkan keempat-empat LRA berkenaan ditutup sejak awal pagi tadi, semakin pulih setakat pukul 1.30 tengah hari tadi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Tuan Ibrahim Tuan Man (dua, kiri) ketika  melawat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor di Bestari Jaya, hari ini. Gambar: Bernama.

Bekalan air bagi seramai kira-kira 5 juta pengguna yang terkesan akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang akibat pencemaran sumber air mentah dijangka akan pulih dalam masa 24 jam lagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia kerana pencemaran bau yang mengakibatkan keempat-empat LRA berkenaan ditutup sejak awal pagi tadi, semakin pulih setakat pukul 1.30 tengah hari tadi.

Tambah Tuan Ibrahim, LRA Rantau Panjang dihentikan operasinya pada kira-kira pukul 12.30 pagi tadi susulan pencemaran bau pada paras satu ton pada muka sauk loji berkenaan manakala LRA Sungai Selangor fasa 1,2 dan 3 dihentikan operasinya pada pukul 2 pagi selepas pencemaran bau pada tahap tiga ton dikesan di muka sauknya.

Bagi mengatasi masalah pencemaran bau berkenaan, Tuan Ibrahim berkata Lembaga Urus Air Selangor melepaskan HORAS 600 sebanyak 285 Juta Liter Sehari (JLH) dan mengepam air kolam alternatif sebanyak 336 JLH untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

“Kita jangka keempat-empat LRA ini akan dibenarkan beroperasi semula dalam satu atau dua jam lagi dan bekalan air kepada kesemua kira-kira 5 juta pengguna akan pulih dalam masa 24 jam nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di LRA Sungai Selangor fasa 2 di Bestari Jaya hari ini.

Turut hadir Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Tambah Tuan Ibrahim, LRA Rantau Panjang dihentikan operasinya pada kira-kira pukul 12.30 pagi tadi susulan pencemaran bau pada paras satu ton pada muka sauk loji berkenaan manakala LRA Sungai Selangor fasa 1,2 dan 3 dihentikan operasinya pada pukul 2 pagi selepas pencemaran bau pada tahap tiga ton dikesan di muka sauknya.

“Siasatan awal daripada pihak berkuasa mendapati bahan pelarut (solvent) merupakan bahan punca kepada pencemaran bau awal pagi tadi.

“Bau solvent ini juga seakan sama dengan kejadian pada awal Sept lepas, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan,” katanya menambah pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan kilang yang menjadi punca pencemaran berkenaan.

Tambah Tuan Ibrahim, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.

“Jika kilang itu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh kementerian, kilang berkenaan akan selalu diperiksa bagi tujuan pematuhan syarat lesen dan pembaharuan lesen,” katanya.

Terdahulu sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat LRA Sungai Selangor dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah.