- Iklan -
Berita

PRN Sarawak dijangka selepas Jun 2021

Sarawak perlu terus diperintah oleh orang Sarawak dan bukannya orang atau parti politik dari luar Sarawak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
SARAWAK, 5 September 2020 - Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang terletak di Petrajaya.
SARAWAK, 5 September 2020 - Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang terletak di Petrajaya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini, memberikan bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat, pada Jun 2021.

Abang Johari mengakui ada pihak tertentu dan individu yang mencadangkan PRN Sarawak tidak diadakan dalam masa terdekat berikutan penularan wabak Covid-19, namun DUN tetap akan terbubar sendiri apabila tempohnya tamat nanti.

“Saya akui memang ada pihak tertentu dan individu yang mencadangkan PRN tidak diadakan ketika pandemik Covid-19, namun mandat Kerajaan Negeri Sarawak akan berakhir pada Jun 2021.

“Apabila mandat kerajaan negeri mencapai tempoh matang, maka DUN Sarawak secara automatik tetap akan bubar dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

“Kita perlu menyerahkan kepada rakyat (untuk mandat baru) dan kita mempunyai kerajaan yang bagus untuk menguruskan Covid-19 (ketika proses pilihan raya),” kata Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika menutup Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 2020 di Kuching, Sarawak, hari ini.

Katanya, Sarawak perlu terus diperintah oleh orang Sarawak dan bukannya orang atau parti politik dari luar Sarawak.

GPS adalah gabungan empat parti Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang dipengerusikan Abang Johari, SUPP, Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sebagai pengerusi GPS, beliau mahukan kesemua parti komponen untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memenangi Pilihan Raya Negeri ke-12, dan menambah bahawa pilihan raya yang akan datang akan membuatkan mereka lebih kuat untuk membina masa hadapan.

“Tiada negeri yang boleh berjaya jika rakyatnya berpecah dan tidak mempunyai keupayaan untuk memerintah dan membangunkan negeri, tetapi Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama daripada kesemua parti komponen,” katanya.

Tambahnya, selepas Sarawak memenangi kes cukai jualan petroleum daripada Petronas, Sarawak di bawah GPS akan melaksanakan hak mereka atas bahan itu di buminya, dalam usaha mempelbagaikan hasil untuk pendapatan tambahan.

GPS sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak dan kestabilan politik dalam usaha membawa negeri ini ke paras pembangunan lebih tinggi dan menjadikannya sebuah negeri maju pada 2030 katanya lagi.

“Hasrat kami jelas, iaitu menjadi sebuah negeri membangun di Malaysia pada 2030, tetapi untuk mencapainya, kita perlu membangunkan ekonomi, memperkuatkan kedudukan kewangan dan membangunkan bakat kita (tenaga kerja),”