- Iklan -
Berita

Khairy cabar Zahid: Mari lihat siapa ada nombor

Katanya, beliau tidak pernah pernah menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Gambar: Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Gambar: Bernama

Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelar Ahmad Zahid Hamidi, selepas terbocornya surat presiden Umno itu kepada Istana Negara bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno yang mencabar Zahid sebagai presiden dalam pemilihan parti lepas berkata, ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak mewakili dirinya dalam usaha memberikan sokongan “kukuh dan meyakinkan” kepada Anwar.

“Saya tidak menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi PM,” tulis menteri sains, teknologi dan inovasi itu di media sosial Instagram miliknya hari ini.

“Jika surat itu benar, saya ingin tegaskan presiden (parti) saya tidak bercakap bagi pihak saya.”

Semalam MalaysiaNow mendedahkan mengenai sepucuk surat yang ditulis Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum Anwar ke Istana Negara.

Dalam surat yang bertarikh 11 Oktober itu ditujukan kepada Agong, kedua-dua pemimpin “terpalit rasuah” dan “sejumlah ahli Parlimen Umno” mengatakan menyokong Anwar dalam usaha mengambil alih Putrajaya.

Khairy turut menggesa ahli-ahli Parlimen Umno menjelaskan kedudukan mereka selepas pendedahan surat tersebut.

“Mari kita lihat siapa sebenarnya yang mempunyai nombor,” kata Khairy kepada Zahid.

Awal minggu ini, Anwar mendapat perkenan selama 25 minit mengadap Sultan Abdullah di mana presiden PKR itu menyerahkan “dokumen sahih” bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti.

Beberapa jam selepas pertemuan mengadap itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa pemimpin PKR itu gagal mengemukakan senarai nama ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Mari kita lihat siapa sebenarnya yang mempunyai nombor,” kata Khairy kepada Zahid.

Awal hari ini, MalaysiaNow juga mendedahkan secara berasingan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebagai ahli Parlimen “tunggal” yang menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Anwar.

Pendedahan ini dijangka akan mengeruhkan lagi hubungannya dengan Presiden Pejuang Dr Mahathir Mohamad selepas Maszlee disingkirkan daripada Kabinet Pakatan Harapan (PH).