- Iklan -
Berita

Umno kemuka secara bertulis syarat baru bersama PN

Syarat baru itu hanya bagi menjelaskan pendirian Umno kepada PN.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan. Gambar: Bernama

Syarat baharu diusulkan Umno bagi meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilakukan bagi tujuan penambahbaikan hubungan dan persefahaman politik dalam gabungan berkenaan, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Menyifatkan pandangan yang menyatakan syarat baru itu bersifat ugutan adalah pandangan individu, beliau menegaskan syarat itu hanya bagi menjelaskan pendirian Umno.

Ahmad berkata usul itu telah dinyatakan dalam mesyuarat menerusi sidang video antara beliau dan Bendahari Umno Tengku Adnan Tengku Mansor bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN, pada Rabu.

Hasrat itu juga akan disampaikan secara bertulis dalam surat kepada Muhyiddin, katanya.

“Perdana Menteri menerusi Hamzah Zainudin (Setiausaha Agung PN), meminta kami menghantar surat kepada beliau selaku Pengerusi PN. Apa yang dibincangkan dalam sidang video itu… saya minta maaf, saya tidak boleh nyatakan pada masa ini, biarlah Presiden (Umno Ahmad Zahid Hamidi) umumkan bila sesuai,” ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mahasiswa kawasan Pontian, di sini hari ini.

Ahmad berkata kedudukan Umno sebagai parti terbesar yang mempunyai bilangan ahli Parlimen terbanyak dalam kerjasama politik PN, perlu dihormati.

Hasrat itu juga akan disampaikan secara bertulis dalam surat kepada Muhyiddin, katanya.

“Sebab itu, saya senaraikan (bilangan kerusi)… kadang-kadang ada yang lupa tentang kerusi. Mereka sikit kerusi tetapi mereka ingat banyak kerusi, sebab itu saya ingatkan fakta politik kerana politik is a game of numbers… siapa yang banyak kerusi lebih berhak dan sepatutnya diberikan tempat, diberikan rundingan lebih baik daripada apa yang ada sekarang, jadi itu yang kita ingin nyatakan dalam perundingan baharu ini,” katanya.

Mengenai tindakan yang akan dilakukan sekiranya syarat baharu itu ditolak, beliau berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan menerusi perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno, dengan keutamaan keputusan adalah untuk rakyat dan kepentingan parti.

Pada Selasa, Umno dalam mesyuarat Biro Politik parti itu meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.