- Iklan -
Berita

SK Taman Desa Skudai ditutup kerana Covid-19

Penutupan itu dibuat selepas seorang daripada murid sekolah itu didapati positif Covid-19.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Para petugas kesihatan menjalankan tugas ujian saringan Covid-19 dan di SK Taman Desa Skudai hari ini. Gambar: Bernama
Para petugas kesihatan menjalankan tugas ujian saringan Covid-19 dan di SK Taman Desa Skudai hari ini. Gambar: Bernama

Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai, Johor, ditutup selama lapan hari mulai hari ini, ekoran seorang muridnya disahkan positif Covid-19.

Tinjauan pemberita di sekolah itu hari ini mendapati ada satu notis arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang dilekat pada pintu pagar utama sekolah memaklumkan penutupan sekolah berkenaan dari 16 hingga 23 Oktober.

Notis berkenaan turut memaklumkan murid akan dibenarkan ke sekolah pada 25 Oktober.

Difahamkan, seorang murid lelaki tahun tiga disahkan positif Covid-19 dan susulan itu sekolah ditutup bagi membolehkan proses sanitasi serta ujian calitan terhadap kontak rapat dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian dari luar pagar sekolah sejak 8 pagi tadi, ujian calitan itu yang dijalankan di perkarangan sekolah bermula pada 9.45 pagi.

Kira-kira 70 kontak rapat yang terdiri daripada murid sekolah itu serta murid daripada sebuah lagi sekolah, iaitu Sekolah Agama Tafrijiyyah Taman Universiti, Skudai yang turut dihadiri murid lelaki itu, menjalani ujian saringan berkenaan.

Murid yang selesai menjalani ujian calitan ditemani penjaga masing-masing dilihat dipakaikan gelang berwarna merah jambu sebelum beredar meninggalkan sekolah selain  diminta melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Mazlan Bujang dan Pengarah Pendidikan Johor Shaharuddin Saari yang dihubungi bagi mendapatkan pengesahan memaklumkan pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dijadual melakukan proses sanitasi di sekitar sekolah pada petang ini.

Sejak petang semalam, tular satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi makluman berkaitan seorang murid lelaki tahun tiga SK Taman Desa Skudai disahkan positif Covid-19.

Murid yang selesai menjalani ujian calitan ditemani penjaga masing-masing dilihat dipakaikan gelang berwarna merah jambu sebelum beredar meninggalkan sekolah selain  diminta melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula hari ini.

Menurut makluman itu, murid berkenaan dipercayai dijangkiti virus itu selepas saudaranya dari Selangor mengunjungi kediaman murid tersebut di Skudai, pada 5 Oktober lepas dan keluarga murid itu dihubungi Kementerian Kesihatan setelah seorang daripada saudara mereka disahkan positif.

Mereka diarahkan menjalani kuarantin kendiri bermula 8 hingga 19 Oktober, sebelum murid itu disahkan positif Covid-19 tengah hari semalam.