- Iklan -
Berita

Sains kata ia bukan masa untuk PRU, kata Khairy

Beliau berkata fokus utama sekarang adalah mengurus pandemik Covid-19, bukannya mengadakan pilihan raya umum.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Gambar: Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Gambar: Bernama

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini membidas cadangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan mengatakan keutamaan seharusnya diberikan kepada langkah menangani pandemik Covid-19, bukannya mengadakan pilihan raya umum.

“Sebagai menteri sains, saya ingin tegaskan mengadakan pilihan raya umum pada masa ini, di tengah-tengah gelombang ketiga penularan Covid-19 adalah satu tindakan yang sama sekali tidak bertanggungjawab, dan jika anda bertanya kepada saya sebagai seorang ahli politik, jawapan saya sila dengar kepada sains,” katanya dalam satu temu bual di BFM hari ini.

Khairy, menteri yang diberi tugas penting bagi mencari vaksin Covid-19 untuk Malaysia yang sehingga kini sudah meragut 170 nyawa, turut berkata negara kini terikat dalam “situasi hidup dan mati”.

“Saya bekerja hampir 24 jam setiap hari bagi mendapatkan vaksin Covid-19 demi rakyat Malaysia.

“Hentikan semua cakap-cakap kosong ini. Sekiranya anda mempunyai nombor – dan selepas istana perkenan untuk mengadap – maka tunjukkan angka anda dan teruskan. Namun, jika anda tidak mempunyai nombor, sila hentikan.”

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Presiden PKR Anwar Ibrahim ke Istana Negara pada Selasa, mengadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mempersembahkan senarai nama ahli Parlimen “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun pihak Istana Negara, memaklumkan Anwar hanya menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya bukan senarai nama mereka.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong turut menasihati Anwar menghormati undang-undang selari dengan peruntukan Perlembagaan.