- Iklan -
Berita

Pengasas PKR tak setuju Anwar kerjasama dengan Najib, Umno

Adalah mustahil untuk PKR bekerjasama dengan pemimpin Umno terpalit rasuah, apa lagi yang sudah disabitkan bersalah, kata Syed Husin.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Selepas episod memalukan Istana “menyekolahkannya”, Anwar Ibrahim kini berdepan tekanan dalam PKR, apabila pengasas parti itu, seorang ahli politik veteran dihormati menentang kerjasama dengan pemimpin Umno terpalit rasuah.

Syed Husin Ali, bekas timbalan presiden PKR dan pengasas bersama parti itu berkata sekiranya kerjasama itu diteruskan, ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati majoriti ahli.

“Saya dan mungkin ramai dari pimpinan parti tidak akan menerima kerjasama dengan ahli-ahli Umno yang terlibat dengan rasuah, terutama mereka yang sudah dihukum,” kata Syed Husin yang juga bekas ahli Dewan Negara selama dua penggal.

Kenyataan Syed Husin dikeluarkan ketika timbul cakap-cakap “sokongan kukuh dan meyakinkan” Anwar itu melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang menjadi modal kempen Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Pada ketika itu, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib menjadi perhatian dunia dan PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad mengeksploitasinya sehingga berjaya sehingga menumbangkan Barisan Nasional (BN), yang buat pertama kalinya kalau pilihan raya umum.

PKR ditubuhkan pada 3 Ogos 2003 selepas Parti Keadilan Nasional pimpinan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Parti Rakyat Malaysia pimpin Syed Husin bergabung.

Menurut Syed Husin, mustahil untuk PKR bekerjasama dengan pemimpin Umno terpalit rasuah, apa lagi yang sudah disabitkan bersalah.

“Saya percaya Anwar sendiri sudah tentu tidak akan menerima kerjasama dengan mereka yang sudah dihukum dan yang terkenal sebagai melakukan korupsi,” katanya yang juga bekas pensyarah Universiti Malaya.

Akhir Julai lalu, mahkamah mendapati Najib bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya melibatkan RM42 juta dari syarikat berkait 1MDB, SRC International Sdn Bhd, yang masuk dalam akaun peribadinya.

Disebabkan itu, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Najib bagaimanapun sudah mengemukakan rayuan terhadap sabitannya.

Sebelum ini, sumber PKR memberitahu MalaysiaNow, Najib yang juga perdana menteri dari 2009 hingga 2018 adalah individu di belakang “sokongan kukuh dan menyakinkan” Anwar.

Sumber berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram hanyalah “budak suruhan” kepada Anwar dan Najib.

Menurut Syed Husin, mustahil untuk PKR bekerjasama dengan pemimpin Umno terpalit rasuah, apa lagi yang sudah disabitkan bersalah.

Zahid dan beberapa ahli Parlimen Umno lain yang berdepan pertuduhan rasuah seperti Tengku Adnan Tengku Mansor, Abdul Azeez  Rahim, Ahmad Maslan dan Bung Moktar Radin dikatakan ketakutan selepas Najib dijatuhkan hukuman.

MalaysiaNow difahamkan “geng mahkamah” inilah yang bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan Anwar untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pada Selasa, Anwar mengadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selama kurang 30 minit, mendakwa sudah menyerahkan “dokumen sahih” bagi membuktikan sokongannya, tiga minggu selepas mengumumkan kerajaan Muhyiddin sudah tumbang.

Bagaimanapun kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Anwar hanya menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya tanpa sebarang senarai ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaannya.