- Iklan -
Berita

Kampung Padang Che Mas, Baling kena PKPB

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Oktober ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kampung Padang Che Mas di Baling, Kedah berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Oktober ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas mendengar cadangan daripada MKN negeri Kedah mengenai situasi semasa Covid-19 di kampung berkenaan.

“PKPB ini melibatkan 1,150 penduduk dan 151 rumah di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini

Beliau berkata sehingga 12 Oktober, sebanyak 236 individu di kampung berkenaan disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan lima keluarga dan 100 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata dengan pelaksanaan PKPB di kawasan itu, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan antaranya tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas, hanya dua orang dibenarkan bagi sebuah keluarga untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan serta penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.