- Iklan -
Berita

Jangan heret negara ke ‘kancah politik tidak menentu’, titah Agong

Yang di Pertuan Agong bertitah, kemelut politik yang melanda Malaysia hari ini perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: Facebook Istana Negara
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: Facebook Istana Negara

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menitahkan agar Malaysia tidak diheret sekali lagi ke “kancah politik tidak menentu”, ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan kes tinggi sejak kebelakangan ini.

Yang di Pertuan Agong bertitah, kemelut politik yang melanda Malaysia hari ini perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan negara.

“Berhubung dengan perkembangan terkini situasi politik negara, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat, khususnya ahli-ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19,” titah Agong dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin pagi ini.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Ini merupakan kenyataan kedua dikeluarkan Istana Negara minggu ini selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Agong bagi menyerahkan “dokumen sahih” membuktikan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan pertama, Istana Negara mengatakan Anwar tidak menyerahkan senarai ahli-ahli Parlimen bagi membuktikan dakwaannya sudah mempunyai sokongan majoriti untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Istana Negara turut menasihatkan Anwar agar mengikut lunas undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan negara.

Ini merupakan kenyataan kedua dikeluarkan Istana Negara minggu ini selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Agong bagi menyerahkan “dokumen sahih” membuktikan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan hari ini, Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu.

“Untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat”.

Agong turut menasihatkan seluruh rakyat agar memainkan peranan masing-masing dalam berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 yang agak membimbangkan akhir-akhir ini.

“Mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baru dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.