- Iklan -
Berita

Anwar kini nafi serah nama ahli Parlimen kepada Agong

Pemimpin PKR itu berkata siasatan polis ke atasnya 'berniat jahat' dan adalah ‘arahan politik’

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika mengadakan sidang media selepas hadir memberi keterangan di Bukit Aman.
Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika mengadakan sidang media selepas hadir memberi keterangan di Bukit Aman.

Presiden PKR Anwar Ibrahim kini berkata tidak pernah menyatakan akan mempersembahkan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya dalam usaha mengambil alih kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada pemberita selepas dua jam memberi keterangan di Bukit Aman, Anwar berkata beliau tidak pernah menyebut untuk menyerahkan nama-nama itu kepada Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Dalam kenyataan saya, jika anda ingat, saya ada katakan saya tunjukkan surat dan dokumen,” katanya merujuk kepada sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa yang menyebut beliau sudah mempersembahkan “dokumen sahih” membuktikan sokongan lebih 120 ahli Parlimen kepada Agong.

Anwar diminta hadir ke ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini disebabkan beberapa laporan polis yang dibuat menuduhnya menggunakan nama ahli Parlimen bagi mendapat sokongan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau turut menegaskan bukan menjadi urusan pihak polis untuk mengetahui perincian mengenai identiti di sebalik bilangan majoriti yang dimilikinya dengan mengatakan “apa yang berlaku antara saya dengan Agong.”

Beliau juga menyifatkan sesi soal jawabnya bersama polis hari ini sebagai satu rancangan politik untuk menentangnya.

“Ia jelas berniat jahat, bermotif politik dan daripada apa yang saya difahamkan ia adalah arahan politik kepada polis,” katanya.

Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini, seramai 10 orang ahli Parlimen menafikan dakwaan mereka memberikan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri, termasuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan, Bung Moktar Radin, Mahdzir Khalid, Idris Jusoh, Tajuddin Abdul Rahman dan Shahidan Kassim.

Sebahagian daripada mereka sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengesahkan ketua pembangkang itu mengemukakan jumlah sokongan diterimanya, tetapi tidak mengemukakan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya.