- Iklan -
Berita

629 kes baru Covid-19, 6 kematian hari ini

Jumlah kumulatif kes kini 18,758 kes dengan 489 jangkitan baru Covid-19 dilaporkan di Sabah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kes baru jangkitan Covid-19 terus meningkat hari ini.
Kes baru jangkitan Covid-19 terus meningkat hari ini.

Sebanyak 629 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif wabak berkenaan dalam negara sebanyak 18,758 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham pada sidang media harian KKM berkata terdapat pertambahan enam kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah korban akibat wabak itu sebanyak 176 orang.

Tambahnya, sehingga kini terdapat 6,323 kes aktif sedang menerima rawatan dengan 99 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 31 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala sebanyak 245 kes sembuh dan dibenarkan keluar wad, menjadikan kes terkumpul pulih sepenuhnya sebanyak 12,259 orang.

Kata Noor Hisham, Sabah terus mencatatkan kes baru positif tertinggi dengan 489 kes iaitu 77.7%.

“Lebih banyak keputusan makmal telah diperolehi. Makmal di Sabah misalnya, telah menjalankan 3,296 ujian semalam dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu menghantar 5,340 sampel ke Semenanjung Malaysia untuk diproses segera.”

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KKM mengenal pasti tiga kluster baru hari ini.

Kluster Lekir melibatkan daerah Manjung di Perak, Kluster Buntar melibatkan daerah Kuala Muda di Kedah, Kerian di Perak dan Putrajaya.

Manakala kluster Merbok melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Petaling di Selangor.

“KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan,” katanya.