- Iklan -
Berita

Setiausaha politik Mat Sabu didakwa rasuah RM6.35 juta

Tertuduh didakwa menerima suapan antara nya di parkir kediaman rasmi menteri pertahanan di Kuala Lumpur.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Mohd Azhar Che Mat Dali (dua, kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur tahun lalu, atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta. Gambar: Bernama.
Setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Mohd Azhar Che Mat Dali (dua, kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur tahun lalu, atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta. Gambar: Bernama.

Setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.

Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi satu pertuduhan meminta suapan, Azhar didakwa meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, di Kuala Lumpur pada 22 Julai 2019.

Bagi empat pertuduhan menerima, Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi menteri pertahanan di Kuala Lumpur, antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat menawarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang berhubung atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

“Mengambil kira pertuduhan yang dihadapi tertuduh RM6.3 juta, jumlah jaminan RM500,000 amat memadai kerana kes ini adalah kes yang tidak boleh dijamin,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon dibenarkan jaminan menimum dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan tujuh anak termasuk dua masih bersekolah serta menanggung ibu mentua.

“Tertuduh kini tidak bekerja selain memberi kerjasama yang baik sejak ditahan oleh SPRM. Tertuduh juga hanya dimaklumkan semalam bahawa dia akan dituduh hari ini dan hanya mampu mengumpulkan RM30,000, selain tidak mempunyai risiko melarikan diri,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain melaporkan diri sekali sebulan bermula November ini di pejabat SPRM Putrajaya serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh membayar separuh jumlah jaminan hari ini manakala selebihnya dibayar minggu depan sebelum 22 Okt.

Mahkamah menetapkan 26 Nov ini untuk sebutan semula kes.