- Iklan -
Berita

Pakar beri amaran pelajar berisiko ‘lembab’ disebabkan belajar dalam talian

Pembelajaran secara dalam talian kurang berkesan berbanding bersemuka dengan pelajar yang jauh lebih baik.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bersemuka dengan pelajar jauh lebih baik kerana jarak yang lebih dekat dan hubungan lebih mesra.
Bersemuka dengan pelajar jauh lebih baik kerana jarak yang lebih dekat dan hubungan lebih mesra.

Peningkatan kes Covid-19 sehingga menyebabkan Putrajaya mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putajaya dan Sabah mendatangkan kesan buruk kepada pelajar sekolah yang terpaksa belajar secara dalam talian, kata pakar.

Nik Safiah Abdul Karim, bekas tokoh akademik negara berkata, ini disebabkan tidak semua pelajar mempunyai kemudahan sama di rumah untuk melancarkan kelas dalam talian.

“Dalam sesebuah rumah jika ada komputer, perlu berkongsi dengan ahli-ahli keluarga lain. Banyak kawasan tidak ada capaian (internet) yang baik, contoh seperti kes di Sabah,” kata pakar tatabahasa bahasa Melayu Univesiti Malaya itu kepada MalaysiaNow merujuk kepada kes Veveonah Mosibin dari Sabah yang terpaksa mengambil ujian dari atas pokok untuk mendapatkan capaian internet.

“Dalam rumah pembelajaran dalam talian bagi sesetengah orang tidak selesa diganggu oleh ahli keluarga lain seperti adik-adik dan lain-lain.”

Putrajaya pada Selasa mengisytiharkan PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula pada 14 Oktober hingga 27 Oktober.

Sementara bagi Sabah, PKPB bermula pada 13 Oktober hingga 26 Oktober.

Sebelum itu pada Ahad, Putrajaya mengisytiharkan semua sekolah di daerah Petaling ditutup dan digantikan dengan pengajian dalam talian disebabkan kawasan tersebut sudah dikelaskan sebagai zon merah Covid-19.

Kini semua sekolah yang berada dalam kawasan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah diarahkan ditutup.

Nik Safiah yang kini merupakan karyawan tamu di Universiti Malaya berkata, disebabkan tidak semua pelajar mempunyai kemudahan sama, pengajian dalam talian kurang berkesan sehingga menyebabkan ada yang ketinggalan dan menjadi “lembab”.

“Dalam rumah pembelajaran dalam talian bagi sesetengah orang tidak selesa diganggu oleh ahli keluarga lain seperti adik-adik dan lain-lain.”

“Secara bandingan, pembelajaran secara dalam talian kurang berkesan. Bersemuka dengan pelajar jauh lebih baik kerana jarak yang lebih dekat dan hubungan lebih mesra.

“Namun dalam keadaan sekarang, kita tidak ada pilihan. Oleh itu, peranan guru amat penting; bahan yang disediakan hendaklah menarik dan penyampaian berkesan,” katanya.

Nik Safiah berkata selepas sekolah sudah dibuka seperti biasa, pihak guru mestilah bekerja dengan lebih keras untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan.

“Kita berharap agar musibah ini tidak berpanjangan dan murid-murid dapat kembali ke sekolah dan pembelajaran kembali seperti biasa.

“Harapan kita ialah kesannya tidak besar,” katanya.

Sekolah di seluruh negara buat pertama kali ditutup apabila kerajaan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan pada pertengahan Mac hingga Julai lalu.

Ini menyebabkan pelajar di seluruh negara terpaksa belajar secara dalam talian di rumah yang mendatangkan kesusahan terutamanya yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.