- Iklan -
Berita

‘Lebih baik musuh daripada pengkhianat’: Naratif baru dalam PKR, Amanah selepas plot Anwar gagal?

Ia juga untuk menarik DAP bersama mereka, kata bekas pembantu menteri daripada Amanah itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dicop sebagai pengkhianat setelah membentuk pakatan baru bersama ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan awal tahun ini. Gambar: Facebook
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dicop sebagai pengkhianat setelah membentuk pakatan baru bersama ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan awal tahun ini. Gambar: Facebook

Naratif “lebih baik musuh daripada pengkhianat” kini semakin diperkatakan dalam PKR dan Amanah tidak berapa lama selepas Anwar Ibrahim gagal untuk memberikan bukti kepada Agong untuk mengukuhkan dakwaannya disokong majoriti ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Dengan peningkatan kemarahan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan media sosial untuk meluahkan kekecewaan terhadap apa yang digelar sebagai “malapetaka Selasa”, sesetengah pemimpin terpaksa menjelaskan kepada mereka bekerjasama dengan “musuh” adalah lebih baik daripada bekerjasama dengan “pegkhianat”.

“Musuh merujuk kepada Najib Razak dan pemimpin Umno, dan pengkhianat adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali,” kata seorang pengurus media sosial PKR kepada MalaysiaNow.

Pada Selasa, Anwar mengadap Yang di Pertuan Agong selama kurang 30 minit, tiga minggu selepas mengumumkan kerajaan Muhyiddin sudah tumbang.

Bagaimanapun kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Anwar hanya menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk mengambil alih Putrajaya, satu pendedahan yang disambut dengan sinis dan penuh kemarahan.

Pada hari sama, beberapa ahli Parlimen PKR memaklumkan kepada MalaysiaNow mereka bersedia keluar daripada parti itu, satu langkah yang dapat menyaksikan blok Anwar di Dewan Rakyat semakin mengecil.

Salah seorang pemimpin PKR yang dilihat sebagai pengikut setia Anwar menyebarkan naratif “pengkhianat dan musuh” secara terbuka ialah Syed Badli Shah Syed Osman, juga diketahui sebelum ini mendesak Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan beberapa minggu sebelum kejatuhan Pakatan Harapan (PH) Februari lalu.

“Bila tiba masanya kita tidak mempunyai pilihan tetapi untuk memilih sama ada musuh atau pengkhianat, lebih baik untuk memilih musuh.

“Dalam politik tidak ada musuh atau kawan yang kekal selamanya,” menurut Syed Badli dalam statusnya di Twitter di saat pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Anwar.

Bercakap kepada MalaysiaNow Syed Badli berkata tidak salah untuk PH mendapatkan sokongan daripada mana-mana individu di “pihak lawan”

Katanya sesiapa sahaja yang menentang PH boleh dianggap sebagai musuh.

“Tidak salah bagi mereka sebagai individu untuk memberikan sokongan kepada Anwar,” katanya.

“Bila tiba masanya kita tidak mempunyai pilihan tetapi untuk memilih sama ada musuh atau pengkhianat, lebih baik untuk memilih musuh.

Satu sumber dari Amanah memberitahu MalaysiaNow salah seorang bekas menteri dari partinya juga “menggunakan ayat yang sama”.

“Tujuannya bukan sahaja untuk menenangkan akar umbi serta ahli Parlimen PH sendiri yang sudah bersiap sedia untuk kembali ke Putrajaya, tetapi juga untuk menarik DAP bersama mereka,” kata bekas pembantu menteri daripada Amanah itu.

DAP sehingga kini masih belum menyatakan sokongannya terhadap langkah Anwar ke istana Selasa lepas, tetapi beberapa penganalisis berkata, apa saja langkah PKR dan Amanah membawa masuk ahli Parlimen Umno sebagai sebahagian daripada blok baru akan ditentang hebat parti terbesar PH itu.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan pemimpin DAP yang mempunyai 42 kerusi Parlimen “sudah menyatakan dengan sangat jelas” kepada Anwar, DAP sama sekali tidak akan bergabung dengan blok terdiri daripada ahli Parlimen Umno, “khususnya yang berdepan perbicaraan rasuah”.

“Itulah sebabnya mengapa Anwar terus membuat temujanji dengan Agong, dengan harapan mendapat sokongan daripada banyak lagi ahli Parlimen Umno,” kata seorang sumber.

Zahid, yang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, merupakan antara ahli politik Umno yang mendorong partinya untuk keluar daripada Perikatan Nasional.

Antara keluhan Zahid ialah Muhyiddin mengenepikan Umno untuk jawatan penting kerajaan, termasuk jawatan ketua menteri Sabah yang diserahkan kepada Hajiji Noor, daripada Bersatu.

Hajiji pada akhir 2018, mengetuai sekumpulan pemimpin Umno Sabah untuk keluar parti bagi menyertai Bersatu.

Fazreen Kamal turun menyumbang dalam laporan ini