- Iklan -
Berita

Kerajaan akan pastikan vaksin diterima segera

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 ditubuhkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perlumbaan mencari vaksin dalam kalangan negara-negara di dunia masih diteruskan sehingga ia ditemui. Gambar: AP
Perlumbaan mencari vaksin dalam kalangan negara-negara di dunia masih diteruskan sehingga ia ditemui. Gambar: AP

Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 bagi memastikan vaksin itu dapat diperoleh pada kadar segera, selamat dan sempurna apabila ada.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa itu akan diketuai secara bersama dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Keputusan penubuhan jawatankuasa khas ini adalah penting bagi memastikan persediaan awal yang rapi dibuat sebelum bekalan vaksin diterima untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia.

“Jawatankuasa itu akan menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin Covid-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, menurut Khairi beberapa jawatankuasa kecil dengan skop tugas tertentu akan turut dibentuk merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi memudah cara serta mempercepat pelaksanaan tugasan itu.

“Skop tugasan itu termasuk pemilihan vaksin, komunikasi, pendaftaran dan kelulusan, memudah cara perdagangan, kewangan, penstoran, logistik dan pengangkutan serta pengagihan vaksin,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata vaksin Covid-19 dari China mungkin digunakan di Malaysia menjelang akhir tahun ini dengan negara itu bersetuju memberi keutamaan kepada Malaysia sebagai penerima vaksin.