Thursday, December 2, 2021

Bicara kes rasuah solar Rosmah bersambung 2 November

Mahkamah menetapkan tarikh itu susulan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober.

Other News

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak akan bersambung semula pada 2 November ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata mahkamah melapangkan tarikh pendengaran yang sebelum ini ditetapkan pada 20 Oktober susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“Kami (pihak pendakwaan) menerima pemakluman (berhubung tarikh baharu perbicaraan) daripada mahkamah menerusi e-mel semalam,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid yang merupakan saksi kelima pendakwaan, dijadual dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan apabila perbicaraan bersambung semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri Najib Razak, sebagai bahan bukti di mahkamah.

Pendakwaan sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah yang mereka menjangka dapat menutup kes mereka pada awal November dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

Rosmah, 69, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh  Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles