- Iklan -
Berita

Parlimen boleh ditangguh, tak perlu bubar, kata bekas speaker

Ia berdasarkan Perlembagaan Parlimen boleh akan dilanjutkan usianya atau di 'prorogue' mengikut Artikel 55 (2).

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia. Gambar: Bernama
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia. Gambar: Bernama

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia menggesa supaya Parlimen tidak dibubarkan sebaliknya ditangguhkan (prorogue) kerana situasi semasa negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini dengan kes harian mencecah sehingga 660.

Katanya sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) keadaan politik Malaysia menjadi bercelaru dan tidak menentu sehingga menjurus kepada ketidakstabilan.

Keadaan itu jelas dapat dilihat daripada pertukaran kerajaan dalam masa tidak sampai tiga tahun iaitu daripada BN kepada Pakatan Harapan (PH) dan daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN).

“Ini adalah merupakan bukti ketidakstabilan politik Malaysia dan keterjejasan ekonomi negara, ekoran daripada politik yang tidak stabil menjadi lebih teruk apabila pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

“Kini ada lagi tanda-tanda yang kita nampak dan dengar bahawa kedudukan kerajaan PN akan tergugat dan persoalan yang merunsingkan fikiran ramai rakyat Malaysia sekarang adakah belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan PN pada hujung tahun ini akan mendapat sokongan dari semua ahli Parlimen sewaktu ia dibahas atau tidak.

“Kalau Parlimen tidak meluluskan belanjawan pada hujung tahun ini, mungkin salah satu daripada dua perkara menurut Perlembagaan akan berlaku iaitu Parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan (Artikel 43 (2) atau Parlimen akan dilanjutkan usianya atau di ‘prorogue’ (Artikel 55 (2),” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Pandikar Amin bagaimanapun berkata, jika berlaku ‘proroging’ (penangguhan), biarlah ia dibuat bukan atas alasan untuk memanjangkan usia kerajaan PN tetapi untuk keselamatan rakyat Malaysia kerana ia lebih penting daripada pilihan raya.

“Wabak Covid-19 yang melanda di Malaysia sekarang ini yang disifatkan oleh pihak-pihak yang berwajib sebagai gelombang kedua yang lebih mengancam dari gelombang pertama, terutamanya di Sabah ekoran Pilihan Raya Negeri atas agenda politik semata-mata wajar dilihat dari sudut pandangan yang amat serius dan dibuat sebagai iktibar.”

“Setelah wabak Covid-19 dapat ditangani, maka barulah PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) diadakan seperti yang dicadangkan oleh Presiden MIC S.A. Vigneswaran menerusi satu kenyataan di sebuah portal berbahasa Inggeris tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan rombakan Kabinet bagi mewujudkan kerajaan “Prihatin” tanpa perlu membubar Parlimen, membolehkan pemimpin-pemimpin daripada pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dijemput untuk menyertai Kabinet.

Pandikar Amin berkata, penubuhan kerajaan Prihatin ini amat penting bagi membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat serius dan komited untuk memerangi wabak Covid-19.

“Dengan tindakan sedemikian, maka ‘politiking’ di Malaysia akan dapat dipinggirkan buat sementara waktu sehingga wabak koronavirus (Covid-19) dapat dikalahkan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.