- Iklan -
Berita

Selepas ke Istana, Ku Li dedah gesa speaker kemuka usul undi tidak percaya

Cadangan itu dibuat beliau berpandukan Perkara 62, Perlembagaan Persekutuan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan yang  membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara petang semalam. Gambar: Bernama
Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara petang semalam. Gambar: Bernama

Sehari selepas mengadap Yang di Pertuan Agong, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan surat dihantarnya kepada speaker agar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikemukakan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, usul dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad itu amat penting atas beberapa sebab antaranya tentang kesahihan kerajaan pada hari ini.

“Sekiranya usul tersebut disokong oleh sebahagian besar (majoriti) ahli-ahli Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan Yang di Pertuan Agong,” kata Razaleigh menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu.

“Saya membuat cadangan ini berpandukan Perkara 62, Perlembagaan Persekutuan”.

Semalam, kenderaan yang membawa Razaleigh, dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada 2.40 petang selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sebelah pagi.

Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li berkata pencadang usul, Mahathir mendakwa Muhyiddin tidak membenarkan usul itu dibahaskan sebanyak dua kali dengan cara menyenaraikannya di penghujung senarai perbahasan.

Pemimpin veteran Umno itu berkata dengan cara itu perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan Dewan Rakyat.

Menerusi surat itu juga, Razaleigh mendedahkan beliau ditawarkan jawatan penasihat Petronas oleh perdana menteri namun menolaknya.

“Saya menolaknya kerana prihatin terhadap Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ‘hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen’ sekiranya dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan.

“Bahagian kecil (sub-section) ini bertujuan mencegah ahli-ahli Dewan Rakyat daripada menyokong atau pun mengundi demi menyokong kerajaan bagi maksud ‘penyogokan politik’,” katanya.