- Iklan -
Berita

Pemimpin DAP dan Amanah tidak mengadap Agong hari ini

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun tidak memaklumkan tentang tarikh baru mengadap Agong.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Istana Negara. Gambar: Bernama.
Istana Negara. Gambar: Bernama.

Dua pemimpin tertinggi dalam gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim tidak mengadap Agong hari ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata mereka dimaklumkan Istana Negara kedua-dua sesi mengadap ditangguhkan.

Kenyataan dikeluarkan kedua-dua pemimpin itu tidak memaklumkan tentang tarikh baru mengadap Agong.

“Kami menjunjung titah dan mendoakan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” kata pemimpin DAP dan Amanah itu dalam kenyataan bersama pagi ini.

Semalam Anwar mengadap Agong selama 25 minit untuk menyerahkan “dokumen sahih” untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setakat ini Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah memanggil mengadap putera Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga penasihat kepada Umno.

Semalam kenyataan bertentangan antara Anwar dan Istana Negara apabila presiden PKR itu pada sidang medianya mengatakan sudah menyerahkan “dokumen sahih” kepada Agong untuk membuktikan sokongannya.

Beberapa minit selepas itu Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata, Anwar sekadar menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membolehkannya mengambil alih Putrajaya.

“Bagaimanapun, beliau tidak mempersembahkan senarai ahli Parlimen bagi mengukuhkan dakwaan itu,” katanya.