- Iklan -
Berita

Agong minta pandangan Ku Li, kata setiausaha politik

Tengku Razaleigh merupakan ahli Parlimen paling berpengalaman.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara pada 13 Oktober, 2020. Gambar: Bernama
Kenderaan membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara pada 13 Oktober, 2020. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dipanggil menghadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam atas kapasiti beliau sebagai ahli Parlimen paling lama berkhidmat.

Setiausaha politik Razaleigh, Mohd Lokman Ghani berkata pertemuan itu adalah atas perkenan Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan daripada Razaleigh mengenai situasi semasa politik negara.

“Semalam Yang di Pertuan Agong menitahkan Tengku Razaleigh untuk menghadap di Istana Negara kemudian baru beliau pergi (semalam). Perbincangan itu melibatkan empat mata untuk Tengku Razaleigh beri pandangan, sekadar itu sahaja yang saya tahu.

“Tengku Razaleigh dipanggil menghadap atas kapasiti individu yang paling berpengalaman, paling matang, lama dalam politik dan individu yang pernah bekerja dengan semua perdana menteri,” katanya kepada Bernama.

Lokman turut menjelaskan pertemuan itu tidak ada kena mengena dengan kedudukan Razaleigh, 83, sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno mahupun sebagai wakil parti itu.

Semalam, kenderaan yang membawa Razaleigh, dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada 2.40 petang selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Sultan Abdullah pada sebelah pagi.

Anwar menghadap Yang di Pertuan Agong di Istana Negara untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka bahawa beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.