- Iklan -
Berita

Tengku Razaleigh bertemu Agong

Kenderaan berwarna hitam yang membawa Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada pukul 2.40 petang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara pada 13 Oktober, 2020. Gambar: Bernama
Kenderaan membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara pada 13 Oktober, 2020. Gambar: Bernama

Istana Negara, yang menjadi tumpuan media sejak pagi, terus menjadi lokasi petugas media berkampung membuat liputan perkembangan mutakhir politik negara, susulan dakwaan ketua pembangkang Anwar Ibrahim mempunyai sokongan ahli Parlimen.

Selepas Anwar, yang juga Presiden PKR menghadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada lewat pagi ini, petugas media menerima maklumat bahawa seorang ahli politik veteran Umno, akan ke Istana Negara pada sebelah petang.

Wartawan tempatan dan antarabangsa, yang berada di luar kawasan Pintu Dua Istana Negara sejak 8 pagi pada awalnya diarahkan beredar meninggalkan kawasan berkenaan, namun kembali menunggu di lokasi itu.

Dilaporkan kenderaan berwarna hitam yang membawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada 2.40 petang.

Kehadiran Tengku Razaleigh bagaimanapun tidak disedari pengamal media yang menunggu di Pintu Dua, dan kemungkinan besar kenderaan yang membawa beliau memasuki Istana Negara melalui Pintu Tiga.

Pada Khamis, Anwar berkata Sultan Abdullah telah memperkenankan untuk beliau menghadap hari ini.

Pada 23 September lepas, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.