- Iklan -
Berita

Saya fokus tangani Covid-19, kata Muhyiddin tentang Anwar ke Istana

Perdana menteri menyerahkan kepada Yang di Pertuan Agong tentang dakwaan Anwar.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Muhyiddin Yassin hari ini dilihat tidak begitu mengambil berat tentang panggilan mengadap Anwar Ibrahim ke Istana Negara, mengatakan beliau sibuk menumpukan perhatian menguruskan negara yang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Perdana menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Yang di Pertuan Agong untuk membuat pertimbangan terhadap dakwaan presiden PKR yang mengatakan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menjatuhkan kerajaan.

“Saya masih berada di sini sebagai perdana menteri, saya perlu uruskan negara,” kata perdana menteri pada sidang media bersama beberapa media di Putrajaya hari ini.

“Saya serahkan kepada Yang di Pertuan Agong.”

Ini merupakan kali pertama Muhyiddin mengadakan sidang media sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Mac.

Muhyiddin berkata, beliau yakin Agong akan bertindak berdasarkan Perlembagaan negara.

Muhyiddin berkata, beliau tidak mengikuti perkembangan hari ini melibatkan Anwar kerana sibuk membincangkan perkembangan terkini pandemik Covid-19 bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tumpuan utama saya sekarang adalah segalanya tentang Covid-19 dan baik pulih ekonomi,” katanya.

Kenyataan Muhyiddin dikeluarkan tidak berapa lama selepas terdapatnya pertentangan Anwar dan Istana Negara mengenai persembahan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Pada sidang media hari ini Anwar mendakwa sudah memberikan “dokumen sahih” untuk membuktikan memiliki majoriti untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan selepas itu mengatakan Anwar belum menyerahkan senarai nama ahli Parlimen yang dikatakan “kukuh dan meyakinkan” menyokongnya.