- Iklan -
Berita

Bekas peguam negara saman Dr Mahathir RM2.2 juta

Jumlah RM2.2 juta itu turut meliputi tuntutan ganti rugi terhadap kerajaan Malaysia.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Gambar: Bernama

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali telah memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM2.2 juta terhadap Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia yang memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pemecatan beliau sebagai Peguam Negara (AG) oleh bekas perdana menteri itu adalah tidak sah.

Mohamed Apandi memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menamakan Mahathir sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Saman itu difailkan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak memberikan maklum balas terhadap surat tuntutan Mohamed Apandi yang diserahkan pada 30 September lepas.

Melalui surat itu, bekas AG tersebut meminta AGC memberikan maklum balas terhadap tuntutannya berhubung ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh ia dikeluarkan, dan jika jabatan tersebut gagal berbuat demikian, beliau akan memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan remedi sewajarnya termasuk ganti rugi teladan dan punitif serta kos.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai AG pada 2015, antara lain memohon pengisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan Kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud kegagalan berhubung pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, oleh itu ia adalah tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Penyataan tuntutan Mohamed Apandi menyebut bahawa melalui surat bertarikh 27 Mei 2015 daripada Ketua Setiausaha Negara, beliau dimaklumkan bahawa Yang di Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pelantikannya sebagai AG yang berkuat kuasa dari 27 Julai 2015 hingga 26 Julai 2018.

Bekas AG itu mendakwa pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara telah memaklumkan beliau bahawa Yang di Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah memberi perkenan terhadap pelantikannya yang disambung selama tiga tahun lagi yang berkuat kuasa pada 27 Julai 2018 dan akan tamat pada 26 Julai 2021.

Mohamed Apandi juga mendakwa Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei 2018 kemudian mula mengeluarkan kenyataan yang mempertikai integriti profesional beliau.

“Antara lain, defendan pertama telah menyatakan bahawa beliau tidak lagi menganggap plaintif sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan meskipun plaintif dilantik sebagai Peguam Negara yang sah oleh Yang di Pertuan Agong.

“Plaintif akan merujuk semua kenyataan yang dikeluarkan defendan pertama yang telah dilaporkan di dalam media.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

“Defendan pertama kemudian mengarahkan Ketua Setiausaha Negara defendan kedua untuk memaklumkan arahan defendan pertama kepada plaintif agar plaintif mengambil cuti tanpa rekod selama 30 hari dari 14 Mei 2018 sehingga 14 Jun 2018,” katanya.

Bekas AG itu mendakwa arahan Mahathir itu adalah tidak sah dan mendakwa bahawa di bawah Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan, pada semua masa yang material, beliau memegang jawatan itu atas perkenan Yang di Pertuan Agong.

Plaintif mendakwa bahawa budi bicara Yang di Pertuan Agong tidak terikat dengan nasihat Kabinet atau Menteri termasuk defendan pertama seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Mohamed Apandi juga mendakwa defendan pertama telah bersikap berat sebelah dan mempunyai pandangan yang serong terhadap beliau pada semua masa yang material dan telah mengambil keputusan untuk memecatnya sebagai AG tanpa menghiraukan kuasa Yang di Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Plaintif berhujah bahawa pada setiap masa, defendan pertama telah melayan jawatan AG dan penyandangnya sebagai seorang penjawat awam dan perlu mematuhi kehendak Perdana Menteri, jawatan yang disandang defendan pertama pada masa yang material,” katanya.

Oleh itu, plaintif mendakwa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya ketika memecat beliau.