- Iklan -
Berita

Dr Mahathir jauhkan diri daripada ‘individu’ nak jadi PM

Bekas perdana menteri itu berharap tiada lagi cubaan mengaitkan dirinya menyokong mana-mana individu untuk menjadi perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Former prime minister Dr Mahathir Mohamad.
Former prime minister Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad petang ini dilihat menjauhkan dirinya daripada individu yang disebutnya sebagai “bercita-cita untuk mendapat sesuatu jawatan.”

Tanpa menamakan mana-mana pihak, ahli Parlimen Langkawi itu berkata tidak pernah memberi sokongan kepada sesiapa yang mahu menjadi perdana menteri.

“Saya harap tiada lagi cubaan yang mengatakan saya menyokong si polan, si polan. Tiada sokongan,” katanya dalam satu kenyataan melalui video petang ini.

Ulasan itu muncul di sebalik pertentangan kenyataan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Istana Negara berhubung sokongan ahli Parlimen kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

Awal hari ini, Anwar mengadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selama 25 minit untuk mempersembahkan bilangan sokongan yang didakwanya “kukuh dan meyakinkan” untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan selepas sidang media Anwar memberitahu, presiden PKR merangkap pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hanya menyatakan jumlah sokongan tanpa memberikan senarai nama ahli Parlimen seperti didakwanya.