- Iklan -
Berita

Anwar mengadap Agong tak sampai 30 minit

Beliau tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum dilihat keluar sejam kemudian.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
PKR president Anwar Ibrahim waves as he leaves Istana Negara after his audience with the Agong on Oct 13.
PKR president Anwar Ibrahim waves as he leaves Istana Negara after his audience with the Agong on Oct 13.

Temu janji Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendapat liputan meluas media selepas mendapat perkenan mengadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi ini sekadar mengambil masa kurang 30 minit.

Beliau yang tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum dilihat keluar sejam kemudian.

Pertemuan Anwar dengan Agong pada hari ini amat dinanti-nantikan beliau selepas membuat sidang media pada 23 September lalu, di mana beliau mengatakan mempunyai majoriti “kukuh dan menyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Minggu lepas, Anwar berkata beliau bersedia memberi perincian dakwaan mendapat majoriti sokongan ahli Parlimen kepada Agong hari ini.

Satu sumber memberitahu MalaysiaNow pertemuan hari ini “pertemuan biasa”.

“Ia adalah pertemuan biasa antara Anwar sebagai ketua pembangkang dan Agong,” kata sumber yang rapat dengan pemimpin PKR itu.

Tempoh pertemuan yang singkat dengan Sultan Abdullah hari ini “kurang daripada 30 minit”, menurut sumber itu – ia jauh berbeza ketika Agong menemuduga ahli Parlimen pada Februari tahun lepas, beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.