- Iklan -
Berita

Selangor ‘tak mahu’ PKPB, kata MB

Beberapa kawasan di Selangor masih dikategorikan zon hijau dan kuning, di mana kes Covid-19 masih terkawal.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sekatan jalan raya di Taman Sri Andalas selepas kawasan yang terletak dalam mukim Klang dikenakan PKPB pada 9 Oktober lalu.
Sekatan jalan raya di Taman Sri Andalas selepas kawasan yang terletak dalam mukim Klang dikenakan PKPB pada 9 Oktober lalu.

Kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan keputusan Putrajaya untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut dan akan mengemukakan cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diberi pertimbangan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beberapa kawasan di negeri itu masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor, di mana kes Covid-19 masih terkawal.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Amirudin berkata pihaknya amat menghargai komunikasi krisis lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar setiap ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akhirnya akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan serta lebih-lebih lagi kepada pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh menteri kanan pertahanan sebentar tadi agak mengejutkan kerajaan negeri kerana keputusan mesyuarat menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir bagi mempengerusikan mesyuarat MKN Selangor bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan pengumuman PKPB di daerah Petaling.

Selangor hari ini mencatatkan 69 kes jangkitan baru Covid-19, iaitu 35 kes di Klang, Hulu Langat (12); Gombak (5); Kuala Langat (1); Petaling (14) dan Hulu Selangor (2).

Pada 9 Oktober lalu, 36 kawasan dalam mukim Klang dikenakan PKPB sehingga 23 Oktober ini.