- Iklan -
Berita

Mustahil untuk Anwar bentuk kerajaan ‘Melayu-Islam’, kata penganalisis

Apa yang dimaksudkan Anwar dengan kerajaan Melayu-Islam?

Fazreen Kamal dan Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Esok menjadi penentu mengenai dakwaan sama ada Presiden PKR Anwar Ibrahim memiliki majoriti "kukuh dan meyakinkan" untuk membentuk kerajaan baru. Gambar: Bernama
Esok menjadi penentu mengenai dakwaan sama ada Presiden PKR Anwar Ibrahim memiliki majoriti "kukuh dan meyakinkan" untuk membentuk kerajaan baru. Gambar: Bernama

Dakwaan Anwar Ibrahim akan menubuhkan kerajaan “Melayu-Islam” dipertikaikan penganalisis yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mustahil kerana presiden PKR itu perlu menyatukan semua parti Melayu.

Mereka berkata, dakwaan Anwar memimpin parti berbilang kaum itu terlalu sukar direalisasikan disebabkan kerumitan untuk parti-parti yang perlu terlibat untuk bekerjasama.

“Masalah yang Anwar akan hadapi adalah jika kerajaan dibentuk dan PAS adalah sebahagiannya daripadanya sudah tentu PAS akan bantah kehadiran Amanah.”

“Dan inilah cabaran yang Anwar perlu selesaikan untuk membaiki hubungan Amanah dan PAS yang sudah tentunya ia tiada kaitan langsung dengan DAP,” kata James Chin dari Universiti Tasmania, Australia kepada MalaysiaNow.

Amanah merupakan parti serpihan PAS yang ditubuhkan selepas sekumpulan pemimpin yang kalah dalam pilihan raya parti pada 2015.

Anwar sebelum ini mengumumkan sudah mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menubuhkan kerajaan dan semasa mesyuarat bersama wakil rakyat PKR, ahli Parlimen Port Dickson itu mengatakan kerajaan ditubuhkannya adalah “Melayu-Islam”.

Seorang lagi penganalisis politik mengatakan mustahil untuk merealisasikan hasrat Anwar membentuk kerajaan Melayu-Islam berdasarkan angka realistik di Dewan Rakyat.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, untuk mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen Melayu-Islam, Anwar terlebih dahulu perlu disokong parti-parti seperti Umno, Bersatu, PAS dan Amanah.

“Sebab perkiraannya memang tak cukup. Kalau nak cukup pun, Bersatu kena sokong, Umno kena sokong juga sebahagian PRS dan GPS kena sokong,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tapi, itu pun masih belum cukup untuk dapatkan majoriti yang formidable”.

Anwar sebelum ini mengumumkan sudah mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menubuhkan kerajaan dan semasa mesyuarat bersama wakil rakyat PKR, ahli Parlimen Port Dickson itu mengatakan kerajaan ditubuhkannya adalah “Melayu-Islam”.

Azmi berkata, selain sukar menubuhkan kerajaan Melayu-Islam, untuk mendapatkan angka cukup juga sukar bagi Anwar kerana parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), DAP sukar bekerjasama dengan Umno, terutamanya yang terkait dengan perbicaraan rasuah.

“Tolak PAS, kerana mereka secara terbuka kata tak akan sokong Anwar. Tapi kalau kita lihat apa yang berlaku dua tiga hari lepas, ramai ahli Parlimen menyatakan mereka menafikan sokongan kepada Anwar.

“Jadi dalam hal ini, maksud formidable Anwar itu boleh dipertikai.”

Beberapa ahli Parlimen Umno seperti Mahdzir Khalid, Bung Moktar Radin, Ahmad Maslan dan Tengku Adnan Tengku Mansor secara terbuka sudah menafikan mereka akan menyokong Anwar.

Sementara, empat yang lain – Ahmad Nazlan Idris, Salim Shariff, Ahmad Jazlan Yaakub, Idris Jusoh, Tajuddin Abdul Rahman dan Shahidan Kassim juga menafikan bakal menukar kesetiaan kepada Anwar.

Chin dari Universiti Tasmania, Australia menambah pengundi Cina juga tidak percaya Anwar mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Saya rasa majoriti populasi Cina di Malaysia tidak percaya dengan cerita Anwar ada sokongan majoriti dan mereka lebih kepada mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Saya rasa semua orang merasakan Anwar sebenarnya tidak mempunyai angka dan jika dia ada sokongan sekalipun saya rasa ia juga tidak stabil,” katanya.