- Iklan -
Berita

Anwar nafi ada kepentingan selepas saham berkait adiknya melonjak naik

Beliau tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan kaunter-kaunter tertentu di pasaran saham, beberapa hari selepas media melaporkan saham syarikat dikaitkan dengan adiknya melonjak naik.

Anwar berkata, beliau tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu”.

Minggu lalu The Edge Markets melaporkan saham Malayan United Industries Bhd (MUI) yang mana adiknya Farizan Ibrahim menjawat jawatan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif mencatatkan dagangan awal kedua paling aktif, dengan 228.66 juta saham diniagakan, meningkat 17.86% kepada 16.5 sen pada pukul 11.13 pagi pada 9 Oktober.

Saham syarikat itu melonjak naik sehari selepas Anwar mengumumkan menerima perkenan Yang di Pertuan Agong untuk mengadap bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Bulan lalu, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Anwar mengumumkan sudah mempunyai majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.