- Iklan -
Berita

563 kes baru, 2 kematian direkodkan hari ini

Sebanyak 109 pesakit pulih dan dibenarkan keluar wad.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru memeriksa suhu pelajar yang hadir ke sekolah hari ini. Ia merupakan sebahagian daripada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian kesihatan.
Seorang guru memeriksa suhu pelajar yang hadir ke sekolah hari ini. Ia merupakan sebahagian daripada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian kesihatan.

Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat dua lagi kematian baru dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban akibat pandemik Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 159 orang.

Dalam sidang media harian, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 563 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 561 semalam, menjadikan kes terkumpul jangkitan wabak tersebut 16,220.

Katanya, daripada jumlah itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 5,039 kes, kesemuanya telah diasingkan dan sedang menerima rawatan.

“Sebanyak 109  kes jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj menjadikan  jumlah pesakit yang sembuh 11,022 orang,” katanya.

Noor Hisham berkata, daripada 563 kes yang dilaporkan hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 291 kes, namun ia lebih rendah berbanding semalam iaitu 488 kes.

Pulau Pinang mencatatkan lonjakan kes positif sebanyak 141 kes, bagaimanapun ia adalah jangkitan daripada Kluster Penjara Reman dimana kesemua kes ini terasing daripada masyarakat.

“Daripada 562 kes penularan dalam negara, 498 kes melibatkan warganegara manakala 64 kes adalah bukan warganegara,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut memaklumkan terdapat enam kluster baru dilaporkan hari ini iaitu dua di Kuala Lumpur, masing-masing satu di Sabah, Selangor, Johor dan Putrajaya.

“Sehingga kini seramai 767 individu sudah disaring di kesemua lokasi kluster, 75 disahkan positif, 585 negatif dan 120 masih menunggu keputusan,” ujarnya.