- Iklan -
Berita

DAP hilang sokongan Cina jika sokong kerajaan Melayu-Islam Anwar, kata penganalisis

Penganalisis mengatakan Amanah hanya akan mengikut keputusan bakal diambil DAP.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Semua senario berkata Anwar mungkin tidak menjadi Perdana Menteri
Semua senario berkata Anwar mungkin tidak menjadi Perdana Menteri

Parti terbesar Pakatan Harapan (PH), DAP akan kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu sekiranya menyokong kerajaan “Melayu-Islam” Presiden PKR Anwar Ibrahim, kata penganalisis.

Mereka berkata, DAP tidak akan mengambil risiko bersama Anwar dan hilang sokongan daripada pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akibat daripada bekerjasama dengan pemimpin Umno yang sedang berdepan dengan tuduhan rasuah di mahkamah.

Penganalisis Politik Shamsul Amri Baharuddin berkata, DAP sudah semestinya boleh mengagak “impak negatif” yang bakal diterima jika berkomplot dengan Anwar.

Katanya, ini kerana Anwar dikatakan disokong bekas penyokong kuatnya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan juga beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berdepan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.

“DAP kukuh dengan undi orang Cina. Mereka tidak akan menyertai Anwar, tidak mahu mengambil risiko kehilangan sokongan orang Cina,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada MalaysiaNow.

“Mereka memerlukan sokongan Cina yang kuat untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini ada di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,”

MalaysiaNow melaporkan sebelum ini pemimpin DAP “menyatakan dengan jelas” kepada Anwar 42 ahli Parlimen parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan bersama ahli Parlimen Umno “terutama mereka yang terpalit dengan kes rasuah”.

Zahid kini berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, merupakan yang tertinggi dalam kalangan bekas pemimpin kerajaan BN sejak tumbang pada tahun 2018.

Shamsul menambah, jika Anwar membawa orang-orang Umno terpalit rasuah dalam senarai “sokongan kukuh dan meyakinkannya”, akan berlaku perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bila perpecahan ini berlaku sebelum Anwar jumpa Agong, atau selepas jumpa Agong kalau ada undi tak percaya di Parlimen (kesannya Anwar gagal); dan jika Anwar dan pasukannya menang, Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan PRU15 dan saya lihat Anwar tetap tidak akan jadi perdana Menteri ke-9,” katanya.

Shamsul menambah, Amanah yang masih belum menyatakan pendirian tentang bekerjasama dengan pemimpin Umno terkait rasuah hanya akan mengikut sesiapa sahaja yang menggunakan kuasa “duit”.

“DAP ada duit untuk terus membuatkan Amanah memberikan sokongan penuh kepada mereka.”

Seorang lagi penganalisis politik, Hisommudin Bakar menyifatkan DAP merupakan sebuah parti yang mempunyai prinsip untuk tidak sama sekali bekerjasama dengan mana-mana pimpinan yang terpalit dengan rasuah dan kleptokrat.

Pengarah eksekutif Ilham Centre itu berkata DAP dan Amanah kini berada dalam persimpangan dilema.

“Mengikut prinsip, DAP tidak dapat menerima individu seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan lain-lain yang mana kes mereka masih lagi dibicarakan di mahkamah.

“Bagaimanakah DAP ingin menjelaskan kepada pengundi mereka berkenaan pendirian politik mereka demi menyokong langkah Anwar ini?

“Bagi saya, DAP berada di dalam persimpangan dilema sama ada ingin menyokong, berkecuali atau keluar dari koalasi politik PH. Semua ini mempunyai senario berbeza dan akan menjejaskan peluang Anwar untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Akan tetapi Hisommudin tidak menolak DAP sanggup bekerjasama dengan Anwar disebabkan tidak tahan dengan gangguan politik terhadap pemimpinnya.

“‘Political harrasment’ oleh Perikatan Nasional (PN) terhadap Lim Guan Eng melalui pendakwaan rasuah dan penggubahan wang haram memungkinkan DAP mengambil keputusan perlu berada di dalam kerajaan berbanding menjadi pembangkang sepertimana sekarang.

“Oleh itu, semua ini menjadikan DAP berada di peringkat sukar untuk menentukan pendirian mereka. Semua langkah akan mempunyai implikasi dan tindak balas berbeza kepada penyokong mereka terutama kepada segmen pengundi Cina.

“Pilihan lain ialah, DAP boleh menjadi parti mesra kerajaan tetapi tidak menyertai Kabinet tetapi sukar juga untuk dijelaskan kepada pengundi mereka.”

Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga sependapat, DAP dan Umno tidak boleh bekerja sama dan masing-masing akan berhadapan dengan soal legitimasi moral kerana ketaksuban penyokong mereka.

“Tahap kebencian membesar sewaktu PRU-14 dan masih belum berkurangan.

“DAP akan kehilangan sokongan penyokong sendiri yang barangkali akan membuat ‘undi protes’ walaupun bagi Anwar ia penting untuk menubuhkan kerajaan.”

Semalam, Anwar berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan untuk beliau mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, di mana beliau akan mempersembahkan perincian dakwaan memiliki sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada anggota Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Kenyataan ini dikeluarkan tiga minggu selepas Anwar mengisytiharkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tumbang dan beliau bakal membentuk sebuah kerajaan “majoriti Melayu”.