- Iklan -
Berita

Apabila hukuman adalah tentang hidup dan mati

Malaysia adalah satu daripada 55 negara PBB yang masih mempunyai hukuman mati.

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Awal minggu ini, Mohammad Awari Ahmad yang berusia 27 tahun gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengenepikan hukuman mati kerana memperkosa dan membunuh seorang jururawat lima tahun lalu.

Awari mengelar bahagian kiri dan kanan leher sebelum merogol mangsa ketika jururawat itu mengalami pendarahan sambil disaksikan anaknya yang berusia lima tahun.

Selepas itu Awari mencuri telefon bimbit wanita itu dan wang RM200 untuk “meraikan perbuatannya” dengan meminum tujuh botol arak di sebuah restoran, menurut pihak pendakwaan.

Tindakan Awari ini digambarkan pihak pendakwaan sebagai “kejam, agresif dan ganas”.

Statistik kerajaan menunjukkan pesalah yang menunggu hukuman mati melebihi 1200 orang pada akhir 2019.

Hukuman mati adalah mandatori bagi sesiapa yang didapati bersalah kerana membunuh, mengedar dadah, menculik, melancarkan perang ke atas Agong dan beberapa lagi.

Tetapi tiada yang dikenakan hukuman mati disebabkan jenayah seperti dilakukan Awari.

Menurut kumpulan hak asasi manusia Amnesty International Malaysia, majoriti yang berdepan dengan hukuman mati terlibat dengan kesalahan melibatkan dadah, bukan jenayah ganas.

Amnesty menganggarkan lebih 73% yang berdepan dengan hukuman mati disebabkan kesalahan melibatkan dadah.​

Sama ada terlibat dengan dadah atau membunuh, hukuman sama menanti.

Malaysia adalah antara 55 negara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang masih mempunyai hukuman mati.

Pada Julai 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan moratorium terhadap semua hukuman mati.

Pada Oktober tahun sama, PH berikrar untuk memulakan langkah memansuhkan hukuman mati di negara ini.

Akan tetapi PH tumbang awal tahun ini, dan masih belum ada kepastian sama ada penggantinya Perikatan Nasional akan meneruskan usaha memansuhkan hukuman mati.

Bagi sesetengah pihak, hukuman mati adalah alternatif kepada penjara seumur hidup yang membelanjakan banyak wang pembayar cukai untuk menguruskan pusat tahanan.

Dan sudah tentu persoalan keadilan timbul bagi mereka yang mengalami kehilangan tidak dapat diganti.

Akan tetapi PH tumbang awal tahun ini, dan masih belum ada kepastian sama ada penggantinya Perikatan Nasional akan meneruskan usaha memansuhkan hukuman mati.

“Sudah tentu saya mahu melihat dendam dibalas terhadap sesiapa sahaja yang membahayakan orang yang saya sayangi,” kata Harish K yang mempunyai dua anak perempuan kepada MalaysiaNow.

“Saya mahu mereka menerima hukuman paling berat, biar mereka menderita.”

Tetapi Harish juga mengakui ini adalah reaksinya berdasarkan emosi.

“Emosi tidak seharusnya memainkan peranan dalam sistem keadilan,” katanya.

“Penjara seumur hidup tanpa parol sudah memadai.”

Kenderaan yang membawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki Penjara Reman Pulau Pinang. Gambar: Bernama

‘Balas dendam atau pemulihan?’

Amnesty yang sudah lama berjuang memansuhkan hukuman mati di Malaysia mengatakan ia bukan bermakna untuk meminimumkan atau memaafkan hukuman keras terhadap jenayah ganas.

Ia lebih kepada memberi peluang kepada pesalah untuk dipulihkan.

“Menjatuhkan hukuman mati terhadap seseorang yang membunuh adalah membalas dendam, bukan menegakkan keadilan,” kata jurucakap Amnesty kepada MalaysiaNow.

“Mana-mana masyarakat yang membunuh pesalah melakukan keganasan sama seperti yang mereka kutuk.”

Ibu kepada dua anak Fizi Hafizah bersetuju. “Semua orang patut diberikan peluang kedua,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.​

Persoalan tentang hukuman mati berkesan untuk membendung jenayah juga masih boleh dipertikaikan.

Menurut Amnesty, “polisi dadah yang drakonian” tidak berkesan untuk mengurangkan jenayah berkaitan dadah di negara ini.

“Hukuman mati tidak mengurangkan jenayah dadah di negara ini, dan polisi dadah yang drakonian gagal untuk menghentikan penggunaan dan dadah masih boleh didapati dalam negara ini,” kata jurucakap itu.

“Ini adalah salah satu bukti hukuman mati tidak memberikan kesan kepada kadar jenayah.”

Hak untuk hidup

Sesetengah melihat hukuman mati sebagai bercanggah dengan hak untuk hidup yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Majlis Peguam Salim Bashir memberitahu MalaysiaNow mereka konsisten dengan pendirian ini.

Katanya, hukuman mati juga merampas hak mahkamah menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah yang disabitkan dalam kes hukuman mati.

Terdapat juga persoalan sekiranya pesalah yang sudah dijatuhkan kemudiannya didapati tidak bersalah.

Beliau memberikan contoh situasi apabila keldai dadah ditahan dan dijatuhkan hukuman mati​, ketidakadilan boleh berlaku.

Katanya, kenyataan diambil semasa siasatan polis tanpa kehadiran peguam dan kesilapan dilakukan peguam boleh menjejaskan perbicaraan dan keputusan mahkamah.

“Masyarakat kena faham hukuman mati mempunyai kesan tidak dapat diubah apabila hukuman mati silap dijatuhkan.”