- Iklan -
Berita

‘Kerajaan saya Melayu-Islam’, Anwar beritahu wakil rakyat PKR

Presiden PKR 'sangat yakin' rancangannya menumbangkan kerajaan akan menjadi kenyataan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berjalan berpimpin tangan bersama isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar Ibrahim berjalan berpimpin tangan bersama isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini memberitahu ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti rancangannya untuk menubuhkan kerajaan melalui “pembelotan politik” di Dewan Rakyat berjalan lancar, menjelang panggilan mengadap dengan Agong minggu depan.

Beberapa pemimpin parti yang menghadiri mesyuarat hari ini memberitahu MalaysiaNow, Anwar dengan jelas mengatakan kerajaan yang bakal ditubuhkannya ialah “kerajaan Melayu-Islam”.

“Beliau berkata ini akan meredakan ketakutan selama ini tentang Anwar terlalu bergantung kepada sokongan DAP,” kata seorang ahli Parlimen PKR dengan syarat tidak dinamakan.

Awal hari ini MalaysiaNow melaporkan, DAP parti yang mempunyai jumlah ahli Parlimen terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), sebanyak 42 kerusi di Dewan Rakyat, membuat keputusan untuk tidak bersama rancangan Anwar.

Difahamkan pemimpin DAP “menyatakan dengan jelas” kepada Anwar parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan bersama ahli Parlimen Umno “terutama mereka yang terpalit dengan kes rasuah”.

Antara yang dilihat menyokong Anwar ialah kumpulan ahli Parlimen yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Beberapa ahli Parlimen Umno sudah menjauhkan diri daripada Anwar selepas mengetahui nama mereka tersenarai dalam senarai ahli Parlimen yang menyokong rancangan untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris, Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Jempol Salim Shariff menafikan mereka menyokong Anwar.

Sementara itu, sumber sama memberitahu MalaysiaNow dalam mesyuarat hari ini, Anwar mendakwa, Zahid yang juga sekutunya dalam Umno pada tahun 1990an, tiada dalam “senarai yang akan dipersembahkan kepada Agong”.

“Beliau turut menafikan DAP tidak menyokong rancangannya untuk kudeta Parlimen,” kata sumber itu dan menambah Anwar “sangat yakin sepanjang mesyuarat dalam talian itu.”

“Anwar berkata, DAP akan menyokong kerajaan Melayunya tetapi tidak akan menjadi sebahagian daripada Kabinet.”

Akan tetapi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tidak menyatakan apa-apa berkenaan dengan komposisi sokongan Anwar.

“Anwar menyatakan hasrat pembentukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil merangkumi seluruh kekuatan yang menumpukan agenda rakyat,” kata kenyataan itu.

Semalam, Anwar berkata Sultan Abdullah Ahmad Shah berkenan untuk beliau mengadap pada hari selasa, 13 Oktober, di mana beliau akan mempersembahkan perincian dakwaan memiliki sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada anggota Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Tiga minggu sebelum ini, Anwar mengisytiharkan kerajaan pimpinan Muhyiddin tumbang dan beliau bakal membentuk sebuah kerajaan yang sangat kukuh.