- Iklan -
Berita

Berapakah kos subsidi upah yang menyelamatkan pekerjaan ketika pandemik?

Tabungan kerajaan yang makin susut bermakna lebih banyak cukai pada masa depan.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Buruh binaan melakukan kerja-kerja pembinaan di Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur.
Buruh binaan melakukan kerja-kerja pembinaan di Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Program subsidi upah kerajaan yang merupakan sebahagian daripada pakej menyelamatkan perniagaan akibat perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) awal tahun lalu mungkin perlu dibayar pada harga tinggi.

Program yang menelan belanja berbilion-bilion ringgit itu dilaksanakan pada April lalu dan berakhir bulan lepas.

Dianggarkan untuk program yang meliputi 21 juta rakyat Malaysia bekerja jika diberikan RM1,000 setiap seorang akan menelan belanja 21 bilion setiap bulan atau RM252 bilion setiap tahun.

“Itu adalah keseluruhan belanjawan kerajaan,” kata Azrul Khalid dari Gelen Centre, sebuah organisasi penyelidikan yang fokus kepada kesihatan awam.

Fasa kedua bantuan menelan belanja RM2.4 bilion, turut diberi dalam bentuk subsidi upah bagi membantu syarikat dan perniagaan terjejas akibat pandemik itu, yang mencatatkan peningkatan kes beberapa hari kebelakangan ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz. Gambar: Bernama

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini berkata program subsidi itu akan dilanjutkan sehingga Mei tahun depan.

Namun, bantuan tunai langsung yang sudah diberikan di bawah bantuan sara hidup (BSH) atau sebelum ini dikenali sebagai BR1M, menyebabkan terdapat kebimbangan rakyat akan terus menagih bantuan tambahan.

Dua sektor yang paling teruk terkesan akibat PKP, adalah peruncitan dan perhotelan. Pra-sekolah dan tadika swasta turut menerima kesan yang sama.

Bepuluh-puluh ribu pekerja di syarikat kecil dan sederhana terpaksa dipotong gaji dan diberhentikan kerja.

Pemberian subsidi upah bertujuan untuk mengurangkan kesan tersebut.

Di bawah program ini, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan layak menerima subsidi antara RM600 hingga RM1,200 mengikut saiz perusahaan, asalkan pihak majikan dapat membuktikan kerugian pendapatan dan memberi jaminan tiada kakitangan diberhentikan kerja.

Langkah itu berjaya menyelamatkan lebih daripada dua juta pekerjaan, serta meminimumkan kadar pengganguran global.

Namun, ia tidak terlepas daripada disalahgunakan.

Seorang pemilik syarikat baru-baru ini ditahan selepas memberi maklumat palsu ketika melakukan tuntutan subsidi upah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau didakwa memperoleh lebih daripada RM400,000 sebulan, meskipun syarikatnya tidak mengalami sebarang kerugian.

Tetapi persoalan yang lebih besar sama ada syarikat memilih untuk mengurangkan kos dengan memberhentikan pekerja, atau memilih subsidi upah dan mengekalkan kakitangannya.

Ahli ekonomi Lau Zheng Zhou, bersetuju pemberian subsidi upah membantu menurunkan kadar pengangguran.

“Pilihan untuk tidak meneruskan subsidi upah hanya akan meningkatkan kadar pengangguran yang akan merugikan masyarakat kerana perbelanjaan akan menurun dan akhirnya akan memberi kesan kepada perniagaan lain serta menyebabkan kutipan cukai rendah,” kata Lau yang merupakan penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) kepada MalaysiaNow.

Namun, beliau memberi amaran mengekalkan pekerja untuk masa panjang dengan subsidi upah akan membebankan kerajaan dalam jangka masa pendek, jika ia bermaksud pekerja yang tidak memberikan nilai tambah.

“Program itu perlu dirancang dengan cara melatih semula kemahiran dan melibatkan pengambilan pekerja muda serta wanita.”

Pengkritik turut memberi amaran perniagaan yang terbiasa menerima bantuan kerajaan akan merasa selesa, dan gagal berdaya saing dalam perniagaan digital, satu sektor yang meledak ketika PKP.

Walaupun ramai yang berjaya dengan penjualan dalam talian, tetapi bukan semua melihat platform e-dagang praktikal secara total.

Isu lain yang berbangkit adalah trend syarikat mengabaikan graduan baru dan pekerja yang tidak berpengalaman.

Lau berkata ada sesetengah perniagaan berpandangan lebih mudah membayar upah tinggi seorang pekerja berpengalaman, dan menyedari pekerja baru lebih cenderung berhenti selepas memperoleh kemahiran.