- Iklan -
Berita

Persatuan guru gesa Putrajaya beri kuasa kepada negeri untuk tutup sekolah

NUTP gesa MKN dan KKM beri kuasa kepada JPN untuk buat keputusan tutup sekolah.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Murid sekolah memakai pelitup muka bagi mematuhi saranan Kementeriaan Kesihatan Malaysia ketika di sekolah. Gambar: Bernama
Murid sekolah memakai pelitup muka bagi mematuhi saranan Kementeriaan Kesihatan Malaysia ketika di sekolah. Gambar: Bernama

Jabatan pendidikan negeri harus diberikan kuasa untuk menutup sekolah yang terletak di zon merah, kata persatuan guru.

Cadangan itu disuarakan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selepas berlaku peningkatan jangkitan harian yang mendadak di seluruh negara.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Putrajaya memberikan kuasa membuat pertimbangan luar kebiasan seperti menutup sesi persekolahan secara fizikal.

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, pertimbangan sama harus diberikan kepada agensi yang mempunyai hubung kait dengan sekolah seperti pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbiran sekolah supaya tindakan pantas dapat diputuskan membabitkan penutupan operasi.

“Arahan penutupan sesebuah sekolah akibat Covid-19 dibuat atas saranan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dari segi birokrasinya memang banyak yang perlu dilalui,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah perlu diberikan kuasa sementara untuk membuat keputusan menutup mana-mana sekolah di dalam pentadbiran mereka apabila pada pertimbangan mereka ada sekolah wajar ditutup akibat kebimbangan dan ketidakselesaan warga sekolah atau ibu bapa terhadap keselamatan akibat Covid-19.”

Semalam, 489 kes baru direkodkan dan kerajaan melaksanakan Printah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Aminuddin menegaskan, perkara ini harus dilaksanakan segera apatah lagi jika keadaan di sekolah di sesuatu kawasan sudah jelas menampakkan ketidakselesaan dalam kalangan murid dan juga guru.

Apa yang berlaku sekarang ialah, pihak sekolah, PPD atau JPN tidak boleh membuat apa-apa keputusan terhadap perkara ini.

“Mereka terpaksa menunggu keputusan yang dibuat oleh MKN atau KKM,” kata Aminuddin.

“Dalam isu ini, sebenarnya pihak sekolah dan PPD lebih mengetahui apa sebenarnya kekalutan dan masalah yang sedang melanda sekolah,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin meminta Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan sekolah yang terletak dalam zon jangkitan pandemik Covid-19, melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau secara atas talian, berbanding persekolahan secara bersemuka.

“Meskipun penutupan sekolah secara fizikal dilaksanakan, kelas pembelajaran secara dalam talian boleh diteruskan seperti biasa.

“Murid tak perlu hadir ke sekolah. Hanya cikgu sahaja yang perlu hadir dan melaksanakan pembelajaran secara atas talian sahaja agar dapat membendung kes penularan Covid-19 di kalangan pelajar,” katanya.