- Iklan -
Berita

KP Jakim meninggal dunia

Beliau dilantik sebagai KP Jakim pada Januari tahun ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Paimuzi Yahya (duduk dua, kiri). Gambar: Bernama.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Paimuzi Yahya (duduk dua, kiri). Gambar: Bernama.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Paimuzi Yahya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh di Selangor pada jam 1 petang tadi akibat daripada komplikasi jantung dan paru-paru.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Jakim, jenazah Paimuzi akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengebumian pada petang ini.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-Fatihah,” kata Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Unit Komunikasi Korporat Jakim memaklumkan Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada Selasa 6 Oktober 2020 di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.

Bagaimanapun beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan kerana faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan.

Paimuzi dilantik sebagai ketua pengarah Jakim pada Januari tahun ini.

Dalam satu kenyataan pada Januari, pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pelantikan dengan Gred Utama A itu bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Mohamad Nordin Ibrahim yang bersara wajib pada 27 Disember 2019.

Katanya, Paimuzi, 59, yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan ketua pengarah (Operasi) Jakim adalah pegawai hal ehwal Islam yang paling kanan di Jakim.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda pada 1985 dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal Islam apabila mula menyertai perkhidmatan awam pada 1986 dalam Skim Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Paimuzi ialah pengarah Jakim cawangan Sabah (2005) dan pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008.

Selain itu beliau pernah menjadi pengarah Darul Quran Jakim pada 2010 dan pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 dan ketua pegawai eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2017 sebelum kembali ke Jakim.