- Iklan -
Berita

375 kes Covid-19 hari ini, 5 kematian baru direkodkan

Sebanyak 371 merupakan jangkitan tempatan manakala lagi empat kes adalah kes import.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan sebanyak 375 kes baru Covid-19 dicatatkan dengan 371 merupakan jangkitan tempatan manakala lagi empat kes adalah kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat lima kes kematian baru dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 146 orang atau 1.02%.

“Empat daripada lima kematian hari ini mempunyai sejarah penyakit kronik, “ katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Daripada jumlah kes yang dicatatkan hari ini, Noor Hisham berkata sebanyak 18 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan kini seramai 3,703, manakala 60 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 20 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Katanya, sebanyak 18 kes sembuh dan menjadikan jumlah komulatif kes Covid-19 pulih sepenuhnya 10,519 atau 73.21%.

Pecahan kes baru hari ini pula sebanyak 271 dilaporkan di Sabah melibatkan Kluster Ramai-Ramai enam kes; Kluster Laut (5); Kluster Benteng LD (3); Kluster Tujuh Serangkai (3); Kluster Tanamera (2) manakala 252 kes daripada saringan lain Covid-19.

Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Tanamera merupakan kluster baru.

“Selangor pula mencatatkan 36 kes baru, 12 kes adalah kluster Jalan Meru, empat saringan pulang dari kawasan berisiko dan 20 merupakan kes pelbagai saringan,” katanya.

Noor Hisham berkata KKM turut mengesan satu kluster baru di Kuala Lumpur membabitkan lapan kes Kluster Jalan Pantai.

Katanya, 10 kes baru dicatatkan di Wilayah Persekutuan Labuan, lapan di Sarawak, lima kes di Johor, Perak dan Terengganu, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Putrajaya serta satu kes di Melaka dan Pulau Pinang.

Kedah pula mencatatkan 16 kes baru, kesemuanya adalah jangkitan tempatan.