- Iklan -
Berita

Pasangan asal Malaysia, anak 3 tahun ditemui mati di London

Scotland Yard mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pasangan asal Malaysia dan anak mereka ditemui maut di London. Gambar: Pexels.
Pasangan asal Malaysia dan anak mereka ditemui maut di London. Gambar: Pexels.

Pasangan kelahiran Malaysia dan anak mereka ditemui mati di sebuah pangsapuri di barat London, dan kini dalam siasatan Scotland Yard sebagai kes bunuh, lapor BBC.

Polis sudah beberapa kali ke Golden Mile House di Clayponds Lane, Brentford pada 5 Oktober selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga yang bimbang, namun tiada sebarang jawapan.

Selepas memecah masuk pada tengah malam 6 Oktober, polis menemui mayat Poorna Kaameshwari Sivaraj, 36, dan Kailash Kuha Raj, 3. Kedua-dua mayat dipercayai sudah lama meninggal dunia.

Suami Poorna, Kuha Raj Sithamparanathan, 42, ditemui dengan kesan ditikam dan diklasifikasikan sebagai mati di tempat kejadian.

Menurut BBC, Kuha Raj dipercayai mencederakan dirinya sendiri selepas pihak polis memasuki flat yang didiami pasangan itu.

Jiran-jiran menyifatkan keluarga tersebut sebagai “sangat ramah” dan mereka amat terkejut dengan berita kematian pasangan itu.

“Saya rasa sedih (selepas mengetahuinya) kerana mereka sangat peramah, orang yang baik,” kata Sheri Dina.

Diba, yang sudah tujuh tahun menetap dalam bangunan yang sama turut berkata, dia sudah beberapa bulan tidak melihat keluarga itu.

Menurut laporan, Poorna dan Kailash kali terakhir dilihat pada 21 September lalu.

Ketua penyiasat, Simon Harding menggesa sesiapa yang pernah bertemu dengan keluarga itu dalam tempoh sebulan yang lalu untuk tampil  membantu.