- Iklan -
Berita

Bimbang tak terima bayaran, bank gesa peminjam dapatkan bantuan Putrajaya

Bank galakkan peminjam industri gunakan bantuan disediakan dalam Penjana.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan menjalankan urusan di Bank Islam.
Pelanggan menjalankan urusan di Bank Islam.

Bank kini lebih berhati-hati memberikan pinjaman baru, kebanyakannya menasihatkan bakal peminjam agar tidak bertemu mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan, menurut semakan MalaysiaNow.

Beberapa pemain dalam sektor itu berkata, bank kini menggalakkan bakal peminjam mendapatkan bantuan kerajaan kerana kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 sehingga memaksa perdana menteri memberikan perutusan khas bagi menggesa rakyat mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

Semalam sahaja, 691 kes baru direkodkan.

Moratorium enam bulan tamat bulan ini, meningkatkan lagi kebimbangan bank walaupun memanjangkan penangguhan pembayaran semula bagi peminjam yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik itu.

Moratorium yang berakhir pada 30 September menyaksikan 500,000 pemohonan bantuan pembayaran balik pinjaman, 98% daripadanya diluluskan menurut Bank Negara Malaysia.

Bank pusat itu berkata, pembayaran pinjaman boleh ditangguhkan untuk tiga bulan lagi bagi mereka yang masih belum mendapatkan pekerjaan baru selepas kehilangan pekerjaan tahun ini.

Bagi yang dipotong gaji disebabkan Covid-19, bank akan menawarkan penstrukturan semula pembayaran pinjaman.

Persatuan Bank Malaysia (ABM), yang memayungi 26 bank komersil berkata, adalah lebih baik peminjam baru mendapatkan bantuan disediakan kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Terdapat pelbagai program yang boleh membantu atau memanfaatkan industri atau peminjam yang terjejas akibat Covid-19,” kata Pengarah Eksekutif ABM Kalpana Sambasivamurthy kepada MalaysiaNow.

“Peminjam-peminjam daripada industri-industri yang terjejas adalah digalakkan untuk meneroka program-program di bawah Penjana.”

Penjana adalah sebahagian daripada inisiatif berbilion ringgit yang diperkenalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jun untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap perniagaan bagi memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu MalaysiaNow, banyak aduan yang diterima daripada pengguna yang hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kebanyakan yang tampil mengeluh masih belum dapat pekerjaan sehingga kini dan mahukan lanjutan moratorium bagi satu tempoh yang relevan.

Akan tetapi katanya, ia bukanlah alasan untuk semua peminjam mendapat lanjutan moratorium secara automatik sebaliknya mereka perlu berurusan dengan bank dengan mengemukakan dokumen serta bukti.

“Saya berpandangan bank perlu sentiasa bersikap pro aktif dengan membantu bergantung kepada setiap kes yang mereka terima.

“Jadi di sini tiada isu jika peminjam mahu merungut tidak dibantu bank. Cuma peminjam perlulah bersemuka dengan pihak dan bukannya duduk dan menyorok di rumah,” katanya.

Yusof tidak terkejut bank akan lebih berhati-hati menawarkan pinjaman baru ekoran bimbang berdepan masalah pembayaran balik secara konsisten.

Kalpana bagaimanapun berkata, kelulusan kepada peminjam individu diputuskan mengikut kriteria yang ditetapkan setiap bank.

“Ini termasuk kelayakan kredit dan kelayakan peminjam.

“Adalah penting bagi peminjam untuk menyerahkan dokumen yang lengkap kepada bank-bank ketika memohon pinjaman bagi mengukuhkan permohonan mereka,” katanya.