- Iklan -
Berita

27 tahun selepas Highland Tower runtuh, projek cerun masih berisiko tinggi

Terdapat 21,000 kawasan berisiko berlaku tanah runtuh di seluruh negara, dengan 76% daripadanya berada di Semenanjung Malaysia.

Roznah Abdul Jabbar
3 minit bacaan
Kongsi
Jalan menuju ke Amber Court, Genting Highlands dibuka kembali selepas berlaku kejadian tanah runtuh pada November 2019. Gambar: Bernama
Jalan menuju ke Amber Court, Genting Highlands dibuka kembali selepas berlaku kejadian tanah runtuh pada November 2019. Gambar: Bernama

Apabila seluruh blok kondominium di Ulu Kelang runtuh dan meragut 48 nyawa penghuninya pada 1993, tidak mengambil masa lama untuk mengetahui siapa bertanggungjawab di sebalik tragedi yang menjadi tajuk utama media-media dunia.

Tragedi menimpa Highland Tower disebabkan kejadian tanah runtuh berpunca daripada kerja-kerja membersihkan tanah di dua tapak projek perumahan berdekatan, serta kegagalan tembok penahan yang tidak diselenggara dengan baik.

Selepas itu, banyak kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Satu kajian mendedahkan, terdapat 21,000 kawasan berisiko berlaku tanah runtuh di seluruh negara, dengan 76% daripadanya berada di Semenanjung Malaysia.

Di Lembah Klang, Ulu Klang, Hulu Langat dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dikenal pasti oleh SlopeWatch, sebuah organisasi yang memantau kawasan cerun bagi melihat tanda-tanda risiko berlaku tanah runtuh dan menawarkan penyelesaian kepada kerja-kerja selenggaraan cerun sederhana.

Terdapat beberapa garis panduan mengenai pengurusan cerun dan pembangunan kawasan berbukit, namun, tiada sebarang pelan yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya penduduk melihat sesuatu yang luar biasa, atau berbahaya, kata Eriko Motoyama, pengarah program SlopeWatch.

Motoyama yang memiliki kepakaran dalam kejuruteraan cerun di Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, organisasinya mengumpul laporan dan menyediakan kertas kerja yang berkaitan.

Katanya, proses yang melibatkan pihak berkuasa tempatan agak menjemukan.

“Walaupun kami memahami pihak berkuasa tempatan harus menangani banyak aduan dan laporan, mereka harus faham bahawa cerun tidak akan menunggu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, satu prosedur operasi standard (SOP) diperlukan untuk memperakui laporan dalam tempoh tertentu supaya pemeriksaan dan tindakan boleh diambil.

Kira-kira dua tahun lepas, organisasi itu pernah melaporkan kemungkinan berlaku pergerakan tanah di Genting Highlands.

Bagaimanapun, amaran itu tidak diendahkan.

Pada tahun lepas, satu kejadian tanah runtuh menyebabkan jalan menuju ke Amber  Court di Genting Highland dipenuhi dengan lumpur tebal, batu dan kotoran selepas berlaku hujan lebat.

Kejadian tanah runtuh di Jalan menuju ke Amber Court pada November 2019. Gambar: Bernama

“Secara jelas tiada sebarang tindakan atau apa-apa langkah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan,” kata Motoyama.

Insiden Highland Towers mengubah pemikiran masyarakat mengenai perlunya peraturan pembangunan di kawasan cerun.

Selepas daripada itu, JKR menubuhkan Cawangan Kejuruteraan Cerun (SEB) bagi mengawal selia pembangunan di kawasan berbukit.

Gue See Sew, seorang perunding geoteknikal dan kejuruteraan berkata, terdapat banyak garis panduan baru mengenai dasar pembangunan kawasan berbukit diperkenalkan dengan syarat lebih ketat untuk diluluskan.

Gue berkata, pihak berkuasa tempatan memerlukan pakar dalam bidang kejuruteraan cerun.

Ketika ini, ia diletakkan di bawah JKR, yang hanya bertanggungjawab untuk bangunan kerajaan dan jalan-jalan raya.

Gue berkata tiada satu agensi berpusat wujud untuk memberi panduan kepada 149 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara mengenai keselamatan cerun.

“Kita perlu mewujudkan agensi khusus untuk keselamatan cerun yang akan bertanggungjawab mengurangkan kejadian tanah runtuh dan mengawal selia pembangunan di kawasan cerun,” katanya.

Gue berkata, garis panduan sedia ada, yang disediakan JKR dan tiga lagi pihak berkuasa tempatan di Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, adalah sebagai reaksi kepada insiden lepas.

Katanya, terlalu sedikit iktibar diambil walaupun terdapat beberapa tragedi dengan memberi contoh kejadian di Ulu Klang, yang mana projek pembangunan secara besar-besaran masih dijalankan.

Gue berkata, penyelidikan tanah yang tidak mencukupi, serta kurangnya pengetahuan mengenai analisis struktur dan reka bentuk merupakan 60% faktor berlakukan kejadian tanah runtuh.

Katanya pemaju harus melantik jurutera dan kontraktor yang layak untuk menjalankan kerja.

Motoyama melihat terdapat dua kelemahan utama – proses kelulusan dan pembinaan projek.

“Ada sebilangan projek seperti jalan raya dan lebuh raya berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan manakala hartanah komersial dan perumahan diletakkan berada di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Bagaimana pihak berkuasa meneliti kelayakan kontraktor yang dilantik untuk menggendalikan pembangunan kawasan cerun? Garis panduan mana yang mereka gunakan? soalnya.