- Iklan -
Berita

PM bakal tenangkan rakyat ketika khabar angin perintah berkurung tersebar

Kerajaan mahu mendapatkan maklumat terpenrinci daripada Kementerian Kesihatan berhubung peningkatan kes akhir-akhir ini.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Prime Minister Muhyiddin Yassin. Photo: Bernama
Prime Minister Muhyiddin Yassin. Photo: Bernama

Berdepan dengan kegusaran rakyat disebabkan peningkatan kes Covid-19 akhir-akhir ini, kerajaan akan mengambil langkah menenangkan rakyat terutamanya ketika khabar angin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal dilaksanakan kembali.

Khabar angin tersebar di Lembah Klang tentang PKP yang dilaksanakan selama hampir tiga bulan sebelum ini akan diisytiharkan kembali.

MalaysiaNow difahamkan, kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah untuk mengekang peningkatan kes yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Antara langkah yang bakal dilaksanakan ialah penutupan sekolah di kawasan yang diisytihar sebagai kawasan merah, termasuk menangguhkan kelas di universiti awam.

“Tetapi kerajaan tidak akan mengisytiharkan perintah kawalan seperti PKP,” kata sumber itu.

“Mereka merasakan bukan sahaja mengundang ‘bencana’ jika kerajaan menutup lagi perniagaan dan sekolah, tetapi ia tidak wajar dari segi kesihatan awam,” katanya.

Muhyiddin akan tenangkan rakyat

Walaupun terdapat penafian berulang daripada pemimpin kerajaan, khabar angin bertiup kencang PKP akan dilaksanakan, termasuk sekatan rentas negeri.

Ini berlaku ketika kes harian Covid-19 meningkat tinggi, lebih tinggi daripada ketika kemuncak waktu PKP.

Hari ni, jumlah kes harian Covid-19 adalah tertinggi sejak pandemik itu mula dikesan di Malaysia, dengan 691 pesakit baru dikenalpasti.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas sekali lagi, petang ini.

“Tetapi kali ini, kami rasa perutusan beliau bukan untuk mengumumkan berita buruk, tetapi untuk menenangkan kegusaran mereka,” kata sumber sama kepada MalaysiaNow.

Isu utamanya ialah kekeliruan tentang punca peningkatan Covid-19 dan kluster baru.

Difahamkan Putrajaya meminta kementerian kesihatan menerangkan tentang peningkatan kes akan tetapi jawapan diberikan kurang “perincian tentang peningkatan kes”, menurut seorang pegawai kerajaan.

“Fakta tentang peningkatan kes berasal dari pusat tahanan dan penjara membimbangkan, tetapi ia tidak sehingga penularannya tidak terkawal dalam kalangan orang ramai,” katanya.