- Iklan -
Berita

Pelajar matrikulasi dibenarkan pulang mulai Jumaat ini

Bagaimanapun kebenaran ini tidak terpakai untuk pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam kawasan zon merah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Gambar: Facebook
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Gambar: Facebook

Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sesi 2020/2021 dibenarkan untuk pulang bermalam pada cuti pertengahan Semester 1 bermula 9 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), KPM Adzman Talib berkata kementerian telah membuat ketetapan agar semua pelajar Kolej Matrikulasi Kedah, Kelantan dan Johor dibenarkan untuk pulang bermalam pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Adzman yang juga Timbalan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru berkata pelajar kolej matrikulasi di negeri lain pula dibenarkan pulang bermalam pada 10 hingga 18 Oktober.

“KPM juga ingin memaklumkan bahawa mulai 9 Oktober, ibu bapa dan waris dibenarkan memasuki premis kolej matrikulasi pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu dengan pelajar tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran ini tidak terpakai untuk pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam kawasan zon merah.

“Ibu bapa serta waris yang berada di kawasan zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu pelajar di kolej matrikulasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pelajar, ibu bapa dan waris perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu yang telah dikemas kini dan boleh dilihat melalui portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Sebelum ini, aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam bagi pelajar kolej matrikulasi tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.