- Iklan -
Berita

Kerajaan tidak boleh selamatkan Malaysia Airlines, Air Asia

Terserah kepada pemegang saham syarikat penerbangan masing-masing untuk memberikan sokongan yang mereka rasa sesuai dan diperlukan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
AirAsia adalah antara syarikat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
AirAsia adalah antara syarikat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kementerian Kewangan berkata ia tidak akan menjamin kedudukan Malaysia Airlines dan AirAsia, dua syarikat penerbangan terbesar negara yang menerima impak serius daripada penutupan sempadan akibat penularan pandemik Covid-19.

Menterinya Tengku Zafrul Tengku Aziz dalam satu wawancara khas bersama CNBC berkata, kerajaan akan memberi laluan kepada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk menentukan masa depan dan hala tuju syarikat itu.

“Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk membantu mana-mana syarikat penerbangan. Oleh itu, terserah kepada pemegang saham syarikat penerbangan masing-masing untuk memberikan sokongan yang mereka rasa sesuai dan diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia Airlines dilaporkan mengalami penurunan sebanyak 94% dalam sektor kewangannya sejak sekatan perjalanan dikenakan di seluruh dunia.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilaporkan berkata syarikat penerbangan mungkin kerugian kira-kira RM10.9 bilion tahun ini, sebahagian besar akibat impak pandemik Covid-19 ke atas penerbangan di seluruh dunia.

Katanya, pengendali lapangan terbang turut mengunjurkan kerugian sekitar RM2.1 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Beliau berkata, secara keseluruhan 169,728 penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air telah dibatalkan, menjejaskan lebih 4 juta penumpang.

Malaysia Airlines berdepan masalah sejak tragedi MH370 dan MH17 enam tahun lalu. Susulan itu, ia pernah menawarkan cuti tanpa gaji kepada pekerja dan melaksanakan pemotongan gaji.

Sementara itu, AirAsia dan syarikat penerbangannya AirAsiaX dikatakan sedang bersiap sedia untuk menjalani satu lagi pemberhentian pekerja.