- Iklan -
Berita

Adun Maharani positif Covid-19

Beliau telah menjalani kuarantin kendiri di rumah sejak pulang dari Sabah pada 26 September lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, Nor Hayati Bachok. Gambar : Facebook
Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, Nor Hayati Bachok. Gambar : Facebook

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Nor Hayati Bachok yang pulang selepas berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan media yang dimuat naik oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Adun Maharani ke akaun Facebook milik Nor Hayati berkata, beliau disahkan positif pada 5 Oktober selepas menjalani ujian saringan kali kedua sehari sebelum itu.

Pihak kami menegaskan bahawa sejak hari pertama kembali (26 September) dari Sabah sehingga 5 Oktober, Nor Hayati telah mengamalkan kuarantin kendiri di rumah serta tidak hadir ke mana-mana program di luar,” kata kenyataan itu.

PKWR Adun Maharani juga mengambil maklum penularan mesej mengenai status kesihatan Adun Maharani yang turut mendedahkan maklumat peribadi beliau dan keluarga.

“Pihak kami sudah mengenal pasti individu yang mula menyebarkan mesej berkenaan dan membuat laporan polis serta bakal kami susuli dengan tindakan undang-undang.

Kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” kata kenyataan berkenaan.

Semua kontak rapat kepada Adun tersebut telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar, telah menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat.

Sejak pagi tadi, laporan penuh keputusan saringan Nor Hayati tular di media sosial sekali gus mencetuskan kekecohan.

Semalam Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Kota Damansara Shatiri Mansor turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan.