Thursday, December 2, 2021

90 disahkan negatif Covid-19 selepas menghadiri mesyuarat khas MKN Sabtu lalu

Mereka antara kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Other News

Seramai 90 individu termasuk kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan negatif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu termasuk mereka yang hadir ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Sabtu lepas, juga dihadiri Zulkifli yang disahkan positif Covid-19 semalam.

“Setakat ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan masih mengenal pasti kontak rapat beliau (Zulkifli) dan menjalankan penilaian risiko dan saringan yang diperlukan.

“PKD akan meneruskan proses mengenal pasti kontak rapat lain dan perkembangan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi sidang media secara maya dari kediamannya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Semalam, Noor Hisham memaklumkan seorang individu yang menghadiri mesyuarat di JPM pada Sabtu lepas dikesan positif Covid-19, diikuti kenyataan Zulkifli sendiri menerusi media sosial mengesahkan dirinya kini menerima rawatan akibat wabak itu.

Zulkifli yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini, menyeru agar orang ramai hadir pada majlis membabitkan dirinya dari 24 September hingga 4 Oktober, menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan dengan segera.

Berikutan itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa semua kontak rapat termasuk menteri Kabinet semasa mesyuarat berkenaan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari bermula 3 Oktober selain turut dipakaikan gelang pengawasan.

Muhyiddin juga memaklumkan beliau sendiri menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu mengikut nasihat KKM.

Noor Hisham yang turut hadir pada mesyuarat MKN itu juga terpaksa menjalani kuarantin di rumah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles