- Iklan -
Berita

Usim arah kakitangan kuarantin kendiri, kerja dari rumah mulai esok

Langkah itu susulan beberapa kakitangan mempunyai kontak dengan individu disahkan positif Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Universiti Sains Islam Malaysia. Gambar: Bernama
Universiti Sains Islam Malaysia. Gambar: Bernama

Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 diarah untuk menjalani kuarantin kendiri dan dibenarkan bekerja dari rumah selama 14 hari bermula esok.

Naib Canselornya Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata ia sebagai langkah mengekang  penularan wabak itu susulan beberapa kakitangan universiti berkenaan yang berhubung rapat dengan individu disahkan positif Covid-19 dan telah menghadiri program di Usim.

Staf yang berhubung rapat dengan kontak kedua (menjadi kontak ketiga) juga tertakluk dengan kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah iaitu merujuk kepada imam, jemaah saf pertama semasa solat Jumaat pada 2 Oktober di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, ahli mesyuarat bersama kontak pertama pada hari berkenaan dan staf hadir dalam Majlis Pelancaran Portal Jom Infaq Usim.

“Pengurusan universiti juga memutuskan semua staf yang bertugas di Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan-Timbalan Canselor, KITM, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri terlibat dengan pelaksanaan arahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ruang fizikal termasuk Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti, Bilik Mesyuarat  Naib Canselor dan KITM ditutup penggunaannya bermula esok hingga 8 Oktober.

Katanya, Bilik Gerakan Covid-19 Usim akan beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan tindakan pencegahan bagi membendung penularan wabak itu.