- Iklan -
Berita

‘PKP 2’ mungkin bunuh lebih banyak perniagaan

Perniagaan yang berjaya bangkit semula khuatir mereka gulung tikar jika PKP2 dilaksanakan.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Mesej mengingatkan para pengunjung untuk mematuhi SOP di Suria KLCC. Gambar: Bernama
Mesej mengingatkan para pengunjung untuk mematuhi SOP di Suria KLCC. Gambar: Bernama

Lonjakan kes Covid-19 di Malaysia kebelakangan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan komuniti perniagaan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan syarikat-syarikat ditutup selama tiga bulan bagi mengekang penularan pandemik diperkenalkan semula.

PKP kemudiannya dilonggarkan dengan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pada awal Jun lalu yang membolehkan aktiviti harian orang ramai dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ia adalah satu episod yang tidak mungkin mahu dilalui oleh komuniti perniagaan lagi.

Pengenalan PKP menyebabkan syarikat-syarikat perniagaan lumpuh sehingga menjejaskan ekonomi.

Berpuluh ribu pekerja kehilangan pekerjaan atau terpaksa menerima potongan gaji sepanjang tempoh tersebut.

Antara industri yang teruk menerima impaknya ialah sektor perhotelan.

Dengan sempadan negara yang masih ditutup sepenuhnya, industri hotel masih melaporkaan pemberhentian pekerja dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pasaran domestik semata-mata.

Seorang eksekutif pengurusan tertinggi sebuah hotel terkemuka di Selangor berkata, masih segar dalam ingatannya apabila kadar tempahan bilik-bilik hotel mula menurun seawal Januari apabila negara mencatatkan kes pertama Covid-19.

“Kami menerima 50% tempahan bilik pada awal tahun ini; menjelang Mac kami bernasib baik sekiranya mencapai pada kadar 20%,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada suku pertama tahun ini, syarikatnya menutup operasi puluhan hotel di China, pusat pandemik Covid-19 bermula yang sehingga kini sudah meragut lebih daripada 1 juta nyawa seluruh dunia.

Di Malaysia, kumpulan hotel itu juga terpaksa menghentikan operasinya di Pulau Pinang dan Melaka, yang kebiasaannya akan dipenuhi pelancong dari Singapura dan beberapa negara lain.

Pihak hotel terpaksa melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan perniagaan mereka termasuk pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Itulah yang berlaku ketika kerajaan meminta bantuan daripada hotel-hotel untuk mengubah bilik-bilik mereka menjadi pusat kuarantin kepada rakyat Malaysia yang pulang daripada luar negara.

“Ia membantu kami untuk terus bertahan,” katanya.

Fasa pemulihan PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut menghadapi beberapa masalah.

“Sebaik sahaja kami membuka pintu restoran dan tempahan domestik ketika PKPP, pemandangan kakitangan kerajaan dengan PPE di ruang lobi membuatkan para pelanggan tersentak dan terus keluar.”

‘Pembeli balas dendam’

Syarikat Angie Choong adalah antara perniagaan runcit yang tidak disenaraikan sebagai “perkhidmatan penting”, yang bermaksud ia tidak boleh beroperasi sepanjang PKP.

“Tidak banyak yang kami dapat lakukan kecuali mendapatkan inventori dan menjaga kedai,” kata Choong, seorang pengurus kanan peruncitan yang bekerja dengan jenama fesyen terkenal kepada MalaysiaNow.

“Kami masih perlu membayar gaji pekerja dan program subsidi gaji kerajaan sedikit sebanyak membantu,” katanya merujuk kepada pakej diumumkan kerajaan merangkumi subsidi pendapatan untuk kakitangan.

Harapan sekarang tentu saja kepada penjualan atas talian kerana kos overhed yang lebih rendah.

Choong adalah antara beribu-ribu perniagaan yang tidak inginkan PKP 2.

Ini bererti tidak dapat menikmati manfaat daripada pengguna yang ingin kembali membeli-belah sejak dari Mac.

“Ya, kami dapat menggerakkan kakitangan untuk memenuhi pesanan atas talian,” katanya, “tetapi apa yang benar-benar membantu aliran tunai kembali ialah kelonggaran PKP, di mana orang ramai mulai keluar rumah, seperti membalas dendam untuk membeli-belah.”

Dan sama seperti syarikat perniagaan fesyen yang lain, syarikat Chong mungkin akan terjejas sekiranya pengguna hanya berbelanja mengikut keperluan sahaja.

Buat pertama kali, PKP membuatkan orang menyedari bahawa mereka boleh hidup sekadar cukup.

“Oleh itu, jika PKP 2 dilaksanakan, kami mungkin tidak mampu mengharunginya,” katanya.

Untuk hotel, pengunjung seperti “pembeli berdendam” sudah kembali sejak pelaksanaan PKPP.

Dan hanya itu yang menjadi harapan mereka untuk bertahan sekarang ini.

“Restoran dalam hotel kembali menjadi tumpuan ketika PKPP,” kata pengurus hotel kepada MalaysiaNow sambil dengan yakin berkata, hotelnya juga tidak akan mampu bertahan sekiranya berlaku PKP 2.