- Iklan -
Berita

Kemasukan ke beberapa daerah di Sabah tidak dibenarkan sepanjang PKPB

Pelaksanaan PKPB berkuatkuasa mulai tengah malam, 7 Oktober.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Terminal feri antarabangsa di Labuan lengang ekoran kekangan pergerakan antara daerah di Sabah bermula 3 Oktober. Gambar: Bernama
Terminal feri antarabangsa di Labuan lengang ekoran kekangan pergerakan antara daerah di Sabah bermula 3 Oktober. Gambar: Bernama

Hanya warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri dan individu yang menjalankan perkhidmatan perlu (essential services) dibenarkan masuk ke negeri itu berkuatkuasa 7 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hariannya berkata perkembangan itu dipersetujui oleh mesyuarat khas menteri-menteri hari ini selepas meneliti pembentangan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan cadangan daripada kerajaan negeri.

Pada masa sama, mesyuarat khas tersebut turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tiga daerah iaitu di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan. Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan dibenarkan.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terbabit di kawasan berkenaan.

“Selain kategori ini, mereka diwajibkan mendapatkan kebenaran khas daripada kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, pelaksanaan PKPB itu adalah bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kawasan berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Justeru, kerajaan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi di kawasan PKPB berkenaan.

Selain itu, hanya dua orang dari satu rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan perniagaan bukan keperluan (non essential services) perlu ditutup sepanjang tempoh PKPB.

Kaedah pembelian makanan pula hanya melalui kaedah pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang.

Dalam pada itu, semua restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi bermula 6.00 pagi hingga 6.30 petang sahaja dan waktu operasi stesen minyak antara 6 pagi hingga 6 petang.

SOP lain yang ditetapkan adalah:

– Operasi pasar harian adalah antara hingga 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

– Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.

– Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

– Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

– Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi. Pergerakan petugas/ penumpang perlu mendapatkan kelulusan PDRM terlebih dahulu.

– Kenderaan yang membawa barangan keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

– Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja.

– Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

– Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.

– Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.

– Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

– Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu dengan kelulusan PDRM.

– Masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran, Sekolah, Tadika, Taska, Pusat Tahfiz, Pusat Jagaan Kanak-Kanak tidak dibenarkan.

– Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.

– PDRM bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus berbincang dengan kerajaan Sabah untuk memantau situasi di seluruh daerah dan akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa sebelum mengambil sebarang tindakan.

Sehingga kini, kes jangkitan Covid-19 terkumpul adalah sebanyak 12,381 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,961 kes.