- Iklan -
Berita

Anwar kini bukan lagi ‘kesayangan’ media Barat berpengaruh

Dua media Barat berpengaruh "memperlekehkan" dakwaan Anwar mempunyai "sokongan kukuh dan meyakinkan."

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Media Barat berpengaruh yang sebelum ini dilihat menyokong Anwar Ibrahim kini semakin hilang keyakinan terhadap presiden PKR itu, meskipun para penyokongnya berdiri teguh dan yakin beliau memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Sekurang-kurangnya dua agensi media berpengaruh dilihat mengkritik Anwar berhubung usaha terbarunya untuk menjadi perdana menteri.

Majalah The Economist mengecam tindakan tersebut sebagai “semata-mata mahu merampas kuasa”, manakala kolumnis terkemuka Nikkei Asian Review menggelarnya sebagai “Mr Yesterday” atau “pemimpin semalam”.

Pada 23 September lalu, Anwar mengadakan satu sidang media tergempar di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan mengumumkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tumbang dan memiliki sokongan “kukuh dan menyakinkan” daripada ahli Parlimen.

Majalah The Economist yang berpusat di London dalam tulisannya pada 3 Oktober menggelar Anwar sebagai “perdana menteri menunggu selama-lamanya”.

“Bagaimana lebih banyak pergolakan boleh membantu usaha menbendung penularan pandemik, memulihkan keadaan ekonomi yang tenat, atau membantu keadaan politik suram bertunjangkan naungan dan perkauman? Anwar sebelum ini pernah mengambil berat mengenai polisi. Ia tidak ubah seperti semata-mata mahu merampas kuasa,” kata majalah itu dalam penulisan kolum Banyan yang memberi tumpuan kepada politik Asia.

Ia jauh berbeza dengan apa yang digambarkan agensi berita berpengaruh lebih dua dekad lalu, apabila Anwar muncul pada kulit majalah terkenal seperti Time dan Newsweek.

Setahun sebelum pemecatannya, majalah Time menerbitkan artikel berjudul “Anwar dan masa depan Asia”, sementara yang lain menggelar Anwar sebagai antara “Ahli politik Asia paling menyerlah”.

Pemecatannya pada tahun 1998 melonjakkan namanya sehingga menjadi ikon reformasi di Barat, yang turut berjaya mengenepikan ucapan-ucapan Dr Mahathir Mohamad di forum-forum global.

Kini sokongan daripada media Barat berpengaruh terhadap Anwar semakin suram.

Perbualan dengan beberapa tokoh penting yang pernah bekerja dengannya dua dekad lalu, pada ketika beliau digambarkan sebagai “orang jahat” oleh media tempatan, mendedahkan kini Anwar tidak lagi mendapat keistimewaan seperti dahulu.

Mereka berkata, “karisma Anwar semakin pudar” jika dibandingkan dengan status sebelum ini sebagai wajah demokrasi Asia yang pernah digunakan dalam editorial dan ruangan kolum media berpengaruh 22 tahun lalu.

Saat itulah beliau dipecat daripada Kabinet Mahathir, yang kemudiannya diikuti dengan tindakannya membawa laungan “reformasi” ke jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi wartawan Barat, Anwar pada masa itu memiliki ketokohan yang dicari-cari Barat, seorang Muslim dan mesra kepada agenda Barat untuk dunia Islam,” kata bekas penasihat Anwar yang kini menetap di London kepada MalaysiaNow.

Katanya, Anwar pada ketika itu memiliki kelebihan digambarkan sebagai seorang Muslim “reformis dan demokrat”.

“Jadi, ketika media tempatan sibuk menyebarkan berita mengenai Anwar sebagai ‘pengacau’, keadaan berbeza buatnya di luar negara kerana beliau berjaya menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin pendapat di Barat pada ketika itu,” kata ahli perniagaan Britain itu.

Selepas dibebaskan pada tahun 2004, Anwar tidak membuang masa untuk kembali berhubung dengan dunia Barat dengan mendapatkan tempat untuk berucap di universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat, bercakap mengenai Islam dan demokrasi.

Biarpun personaliti dan kerjaya politiknya bertambah baik terutama ketika Pilihan Raya Umum 2008, terdapat juga peningkatan kesangsian terhadap jenama politik beliau.

“Imej Anwar sebagai mangsa politik yang meringkuk dalam penjara bertahun-tahun akhirnya terhakis dengan gambaran sebagai seorang lagi ahli politik Asia yang gila kepada jawatan perdana menteri,” kata seorang ahli perniagaan di Kuala Lumpur yang pernah berkempen untuk membebaskan Anwar dari penjara pada lewat 1990-an.

Seorang bekas wartawan yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan penulisnya berkata, Anwar akan mendapati lebih sukar pada hari ini untuk mendapatkan laporan positif daripada media antarabangsa yang berpengaruh.

“Dua atau tiga puluh tahun yang lalu, akhbar Barat pasti akan bersama-sama sesiapa sahaja yang berdiri di landasan reformasi dan demokrasi.

“Mereka kini lebih berhati-hati, tanya Aung San Suu Kyi. Beliau adalah contoh terbaik tentang bagaimana seorang demokrat yang sangat disayangi bertukar menjadi orang jahat,” kata wartawan berusia 68 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Satu kritikan terhadap Anwar daripada William Pesek, kolumnis Nikkei Asian Review baru-baru ini, dapat memberikan gambaran sebenar.

Anwar kini tidak lagi dapat menikmati menjadi kesayangan media Barat berpengaruh.

Penulis yang pernah memenangi anugerah itu menulis, Anwar berubah daripada seorang yang menarik perhatian dunia sebagai reformis kepada “pemimpin semalam” yang “semata-mata mahu merebut kuasa”.

“Malaysia Baru Anwar kini lebih kepada satu projek sia-sia berbanding perubahan polisi” tulis Pesek bulan lepas.

“Sebelum kacau-bilau politik sejak kebelakangan ini, selama enam dekad Umno menjaga kumpulan etnik dan agama yang dominan. Namun, kerana begitu dahagakan kuasa, Anwar dilihat bersedia membawa idea-idea lapuk yang dilawannya pada tahun 90-an.”